Nadma sedia bantu kawasan terjejas kemarau

MOHD REDZUAN
MOHD REDZUAN
A
A
A

ALOR GAJAH - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedia membantu mana-mana kawasan yang terjejas dengan kemarau di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata, Tabung Bencana Nadma boleh digunakan untuk membeli peralatan seperti ‘Portable Water Treatment Plant’ (PWTP) yang boleh digunakan di kawasan terjejas bekalan air akibat kemarau.

“PWTP berkenaan boleh menghasilkan sehingga 120,000 liter air sehari, yang mampu membantu lebih kurang 8,000 mangsa di kawasan terjejas.

“Selain itu, kita juga mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Meteorologi dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), untuk membuat kajian mengenai cuaca pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Pelancaran Pak Wan Prihatin Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia di Dataran Peladang di sini, pada Ahad.

Selasa lepas, kerajaan negeri Melaka menerima lima unit PWTP bernilai RM2.25 juta daripada Nadma, sebagai persediaan menghadapi kemarau yang sering berlaku ketika Monsun Barat Daya yang terjadi antara Mac hingga Jun setiap tahun.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pelaksanaan dasar-dasar kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menangani pandemik Covid-19, nyata menarik minat Ahli Parlimen pembangkang untuk menyatakan sokongan kepada kerajaan Persekutuan.

“Walaupun mereka tak bersama kita, tapi menyatakan sokongan kepada kita. Ini satu perubahan yang sihat untuk memastikan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh perdana menteri, terus melaksanakan tanggungjawab kita kepada rakyat tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya.

Pada Sabtu, Ahli Parlimen Kuala Langat Datuk Dr Xavier Jayakumar, mengumumkan peletakan jawatan serta-merta sebagai Naib Presiden dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan telah membuat keputusan untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong blok Kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin. - Bernama

Artikel Berkaitan: