X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Nafas peruntuk RM580,000 bantu pelajar

Abd Rahman (kanan) dan Rizam (dua dari kanan) beramah mesra bersama penerima pada Majlis Penyampaian Sumbangan Program Jom Ke Sekolah di Dewan Seri Peladang PPK Bernam Jaya, Bagan Nakhoda Omar di sini pada Sabtu.
A
A

SABAK BERNAM - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memperuntukkan sebanyak RM580,000 untuk membantu 5,800 pelajar dari seluruh negara melalui 'Program Jom Ke Sekolah' pada tahun ini.

Ahli Jemaah Pengarahnya, Datuk Dr Abd Rahman Bakri berkata, sebanyak 279 (Pertubuhan Peladang Kawasan) PPK seluruh negara menerima bantuan itu secara berperingkat.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 10 daripada 14 PPK di negeri ini sudah menerima bantuan berkenaan yang memperuntukkan sebanyak RM100 setiap penerima.

“Kita akan menjelajah empat lagi PPK di negeri ini untuk meringankan beban ahli PPK yang terjejas susulan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Program Jom Ke Sekolah di Dewan Seri Peladang PPK Bernam Jaya, Bagan Nakhoda Omar di sini pada Sabtu.

Dalam majlis itu, seramai 200 penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar menerima sumbangan sebanyak RM100.

Abd Rahman yang juga Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor berkata, sehingga kini seramai 30,000 anak-anak ahli PPK menerima manfaat melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu yang telah dilaksanakan sejak lima tahun lalu.

“Kami berharap inisiatif ini dapat menceriakan dan memberi motivasi kepada pelajar untuk kembali ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata, selain bantuan 'Jom Ke Sekolah', pihaknya menyampaikan bantuan khas Covid-19 berjumlah RM5, 000 kepada setiap PPK seluruh negara.

“Kami juga turut menyampaikan wakalah zakat selain sumbangan lembu korban pada musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedia maklum dan memahami kekangan dihadapi sesetengah ahli PPK yang kurang berkemampuan setiap kali tiba musim persekolahan.

“Kami menyasarkan ahli PPK yang menghadapi masalah kewangan, daif dan hidup susah serta memerlukan bantuan bagi meringankan beban,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail berkata, beliau amat mengalu-alukan usaha yang dilakukan Nafas untuk membantu meringankan beban ahli PPK terutama di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, sebelum ini program Jom Ke Sekolah anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) turut dijalankan dengan membabitkan seramai 200 penerima di DUN berkenaan.

“Saya amat berbesar hati jika ada mana-mana syarikat korporat untuk turut sama membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah menyediakan keperluan barangan kelengkapan persekolahan anak-anak,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!