Misi kerajaan Perikatan Nasional selamatkan negara

Mohamed Azmin ketika diwawancara Sinar Ahad di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mohamed Azmin ketika diwawancara Sinar Ahad di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A

[WAWANCARA] Dalam wawancara selama satu jam di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Jalan Duta, Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mengupas pelbagai persoalan tentang krisis ekonomi dan politik semasa.

Beliau meletakkan keyakinan tinggi terhadap pemulihan ekonomi menerusi program vaksin yang sedang berlangsung sekarang.

Azmin yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) turut mengupas tentang hasrat rakyat untuk melihat politik perpaduan menjadi agenda utama negara.

Ikuti wawancara Sinar Ahad bersama Azmin yang dikendalikan Penolong Pengarang Pengisian Berita, Junhairi Alyasa serta wartawan Nurhidayah Hairom dan Muhammad Amnan Hibrahim.

SINAR AHAD: Apakah pencapaian terbesar Datuk Seri sejak menerajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)?

AZMIN: Antara peranan MITI dalam tempoh pandemik Covid-19 ini adalah mengimbangi antara tuntutan keselamatan dan kesihatan dengan kesejahteraan ekonomi dan pendapatan rakyat.

Kalau kita teliti, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama pada 18 Mac tahun lalu menyaksikan penguncupan ekonomi negara sebanyak 17.1 peratus dalam tempoh tiga bulan sahaja. Penguncupan amat besar ini tidak pernah berlaku.

Untuk memulihkan dan mencerdaskan semula ekonomi, kita terpaksa menyuntik sebanyak RM320 bilion. Bukan sahaja untuk membantu industri dan syarikat yang besar, tetapi juga peniaga-peniaga kecil termasuk ‘Mak Cik Kiah’ bagi melindungi pekerjaan dan menjamin pendapatan mereka.

Artikel Berkaitan:

Kita lihat juga kesan kepada pengangguran pada suku kedua tahun 2020 mencatatkan 5.3 peratus. Walaupun setelah suntikan pakej rangsangan ekonomi ini untuk keseluruhan tahun 2020, pengangguran dicatatkan pada kadar 4.8 peratus. Ini antara cabaran yang besar MITI. Alhamdulillah setelah setahun kita melalui pandemik Covid-19 ini, hari ini hampir kesemua sektor ekonomi telah pun dibuka. Lebih 15 juta tenaga kerja rakyat Malaysia kembali bekerja. Pada masa sama kita juga dapat melandaikan lekuk penularan Covid-19 ini. Jadi inilah kejayaan kita dalam tempoh setahun ini.

Mohamed Azmin ketika diwawancara Sinar Ahad di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mohamed Azmin ketika diwawancara Sinar Ahad di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

- Adakah ini membuktikan kerajaan Perikatan Nasional telah berjaya menyelamatkan ekonomi Malaysia?

Ya, saya bersetuju walaupun ada segelintir pihak cuba memperlekehkan usaha-usaha kerajaan. Bagi saya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadapi cabaran yang cukup besar.

Negara kita menghadapi krisis politik pada awal tahun 2020 disebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan Perdana Menteri. Kemudian kita menghadapi pandemik Covid-19 dan impak daripada pandemik ini kita juga berdepan krisis ekonomi.

Bagi saya untuk menguji kekuatan dan kepimpinan seseorang itu adalah apabila seseorang itu mampu menguruskan sesuatu krisis. Saya lihat Muhyiddin telah menguruskan ketiga-tiga krisis ini serentak dengan tenang, tegas dan bertanggungjawab. Beliau fokus kepada dua perkara, pertama menangani Covid-19 dan kedua memulihkan ekonomi.

Kepimpinan inilah yang telah menghasilkan suasana yang lebih stabil hari ini dan kita lihat hasilnya penularan Covid-19 semakin terkawal. Suasana ekonomi sudah semakin baik. Kalau ikut unjuran yang telah dilaporkan, Malaysia akan mencatatkan pertumbuhan baik antara 6.5 hingga 7.5 peratus tahun ini.

- Ada pihak mendakwa langkah kerajaan melaksanakan perintah darurat memberi kesan negatif terhadap aliran pelaburan langsung asing (FDI). Apa komen Datuk Seri?

Proklamasi darurat yang diperkenankan Seri Paduka Baginda adalah berasaskan keperluan semasa. Saudara ingat pada tahun lepas kerajaan juga telah memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat, namun Seri Paduka Baginda berpandangan tidak ada keperluan untuk mengisytiharkan darurat kerana kerajaan masih mempunyai keupayaan untuk mengawal penularan Covid-19.

Tetapi saudara sedia maklum setelah itu kita ada gelombang yang kedua dan gelombang ketiga. Angka-angka ini terus meningkat menyebabkan ada keperluan untuk kita menyelaraskan semua peranan di peringkat Persekutuan dan negeri, kementerian dan jabatan bagi menangani Covid-19.

Sekali lagi kerajaan memberi nasihat kepada Seri Paduka Baginda untuk mengisytiharkan darurat. Darurat kali ini semata-mata untuk menguruskan Covid-19 kerana darurat ini membolehkan pindaan kepada beberapa peruntukan undang-undang sedia ada dilakukan secara ‘laluan pantas’.

Setakat ini Seri Paduka Baginda telah pun memperkenankan beberapa ordinan untuk dilaksanakan dalam tempoh darurat yang dapat dibuat dalam masa yang cepat. Kalau kita nak pergi ke Parlimen, nak buat bacaan kali pertama, bacaan kali kedua, bacaan kali ketiga, itu satu proses yang panjang dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis.

Yang kedua, saya juga ingin tegaskan inilah kali pertama apabila darurat disytiharkan, kita wujudkan jawatankuasa khas bebas yang terdiri daripada golongan profesional, pemimpin kerajaan dan pembangkang. Perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

Maka sekali lagi membuktikan kerajaan PN di bawah Muhyiddin adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan cukup demokratik untuk memastikan tidak ada penyalahgunaan kuasa.

Saya nak lontarkan persoalan ini kepada mereka yang mengkritik, darurat sebelum ini tidak ada tempoh, tetapi kali ini ada tempoh. Hanya enam bulan, bukannya enam tahun. Darurat sebelum ini tidak ada tempoh, dan tidak ada jawatankuasa khas bebas.

Mohamed Azmin (tengah) ketika diwawancara Sinar Ahad di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mohamed Azmin (tengah) ketika diwawancara Sinar Ahad di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

- Bagaimana Datuk Seri melihat keadaan ekonomi Malaysia selepas program vaksinasi bermula?

Kita meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus daripada populasi akan dapat suntikan vaksin ini termasuk juga warga asing sama ada komuniti diplomat, ekspatriat ataupun pekerja asing kerana prinsip kita ‘Tidak ada yang selamat sehingga semua orang selamat’.

Baru-baru ini dalam mesyuarat menteri-menteri ekonomi ASEAN, Malaysia telah mencadangkan supaya mereka yang telah diberikan suntikan vaksin, akan diberikan pasport khas bagi memudahkan perjalanan di antara negara anggota ASEAN.

Ini bakal memulihkan sektor pelancongan di rantau ini kerana sektor pelancongan terkesan teruk sepanjang pandemik Covid-19. Ini termasuk sektor penerbangan, perhotelan dan acara. Jadi kita jangka pasport ini boleh dilaksanakan segera.

- Baru-baru ini Sinar Harian membuat tinjauan pendapat orang ramai tentang kerajaan sekarang, dari segi rating prestasi kerajaan nampaknya tidak begitu baik. Apakah perancangan untuk memastikan rakyat terus menyokong PN?

Cabaran kita sekarang ini adalah soal komunikasi. Kita akan teruskan libat urus program-program turun padang supaya rakyat faham dan tahu apa yang kita buat. Sebagai contoh, kerajaan telah memberikan suntikan RM320 bilion untuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).

Ini satu jumlah yang luar biasa. Belum pernah sejarah kewangan negara dapat menyuntik dana sebesar itu. Tapi sejauh mana rakyat dapat memahami dalam keadaan sebegini sukar, kerajaan bertungkus lumus melindungi nyawa dan menjamin pendapatan mereka. Itu kita kena turun ke bawah dan beritahu.

Sehingga 26 Februari 2021, untuk satu skim sahaja iaitu Bantuan Prihatin Nasional (BPN), kerajaan telah membantu 10.5 juta rakyat Malaysia yang melibatkan kos RM17.17 bilion. Kemudian kita ada Bantuan Sara Hidup (BSH). Kita telah bantu 4,264,000 orang melibatkan peruntukan RM426.4 juta.

Geran Khas Prihatin (GKP) untuk usahawan kecil pula sebanyak RM3,000 seorang, kita telah belanjakan sebanyak RM2.55 bilion untuk bantu 848,512 peniaga kecil. Bagi Bantuan Subsidi Upah, walaupun tidak pergi secara terus kepada pekerja, tetapi kita bantu majikan supaya tidak buang pekerja. Ini cara kita selamatkan majikan kerana mereka tidak dapat beroperasi, tetapi perlu bayar gaji, kos utiliti, dan sewa. Kita belanjakan RM13.53 bilion untuk membantu 327,908 majikan dengan syarat tak buang pekerja.

Ini baru empat inisiatif sudah berbilion ringgit menunjukkan betapa prihatinnya kerajaan ini. Mungkin ada pihak yang cuba mempolitikkan mengatakan kita tidak bantu tetapi bagi saya angka-angka ini tidak menipu.

- Datuk Seri pernah berjuang begitu lama dalam PKR. Apakah perasaan Datuk Seri apabila mengambil keputusan meninggalkan parti itu?

Saya tidak meninggalkan PKR, saya dipecat bukannya oleh parti tetapi oleh individu yang mungkin berasa tergugat kedudukannya. Saya kesal kerana parti yang saya bina sejak 1999 itu diasaskan kepada agenda perjuangan yang cukup jelas iaitu untuk melakukan islah dan perubahan dalam sistem kenegaraan ini. Kita melalui satu proses yang amat getir.

Saya sendiri dihumban ke dalam lokap dan penjara beberapa kali malah saya lebih awal masuk dalam lokap berbanding dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau masuk hanya pada 20 September 1998, saya dihumban ke dalam lokap pada 16 September 1998.

Tetapi saya tidak lemah semangat. Alhamdulillah hasil daripada perjuangan, kami akhirnya dapat membentuk kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan. Namun apabila ada seseorang yang saya kira terlalu rakus dan ghairah untuk menjadi Perdana Menteri, sanggup melakukan apa sahaja sehinggakan PKR ini menjadi parti sendirian berhad ataupun parti anak-beranak dan tidak lagi memikirkan kepentingan rakyat, maka saya tidak ada pilihan melainkan cuba melakukan perubahan dalam parti saya sendiri.

Dalam pemilihan parti pada 2018 saya dan pasukan saya menang besar, namun ada pihak tertentu menggunakan kuasanya untuk memecat saya dan kumpulan saya. Bagi saya itu perkara yang sudah berlaku, namun perjuangan mesti diteruskan. Saya sekarang berada dalam parti Bersatu dan kerajaan PN. Saya akan teruskan perjuangan ini untuk kepentingan negara dan rakyat.

Mohamed Azmin ketika diwawancara Sinar Ahad di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mohamed Azmin ketika diwawancara Sinar Ahad di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

- Apakah impian dan cita-cita Datuk Seri terhadap Bersatu?

Bersatu mempunyai potensi yang besar. Walaupun Bersatu dibentuk untuk menggantikan UMNO, dan menjaga kepentingan orang Melayu dan bumiputera, hari ini Bersatu telah mengorak langkah yang lebih progresif dan membuka pintu kepada orang bukan Melayu dan bukan bumiputera.

Ini satu perkembangan yang positif. Saya telah berbincang lama dengan Tan Sri Muhyiddin dan mencadangkan supaya Bersatu menjadi sebuah parti yang akan mewakili seluruh rakyat Malaysia. Walaupun paksi utama parti ini adalah Melayu dan bumiputera, namun Bersatu juga mesti mempunyai peranan untuk menjaga kepentingan dan hak bukan bumiputera dan bukan Melayu.

Tahun lepas, kongres parti telah melakukan pindaan perlembagaan dan membuka Bersatu dengan satu sayap baharu yang disebut sebagai Bersekutu untuk menjaga, melindungi kepentingan dan hak bukan Melayu dan bukan bumiputera.Sejak itu saya lihat Bersatu menjadi lebih kuat dan kukuh. Begitu ramai anggota bersekutu yang telah menyertai semenjak tahun lepas. Harapan saya, satu hari nanti, Bersatu akan menjadi parti yang akan mempertahankan prinsip-prinsip dalam Perlembagaan, mendukung cita-cita dan citra PN iaitu sebuah parti pelbagai kaum dan agama.

- UMNO telah membuat keputusan untuk tidak menyertai PN pada PRU15, bagaimana Datuk Seri melihat perkembangan terbaru ini?

Ini bukan keputusan baru. Keputusan ini dibuat setiap bulan dari tahun lepas tetapi bagi saya, seperti yang kita telah putuskan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk terus memainkan peranan bagi menjamin kestabilan kerajaan dan juga memperkukuhkan perpaduan dalam PN.

Kita mahu peranan ini terus dimainkan oleh Bersatu dengan mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak.

UMNO sebagai contoh, mungkin mempunyai pandangan yang tersendiri, tetapi sebagai parti politik, Bersatu, Pas, UMNO dan parti-parti yang lain, rakyat sedang memantau. Hari ini rakyat semakin matang, semakin bijak.

Dalam PN, yang uniknya tiada ‘Big Brother’. PN tidak akan benarkan mana-mana parti anggota untuk mendominasi parti lain. Kita berpegang pada prinsip saling hormat menghormati antara satu sama lain. PN berpegang pada prinsip kekuatan itu harus digabungkan dan kelemahan itu harus kita selesaikan secara bersama.

- Adakah kerusi Parlimen Gombak masih dikira sebagai kerusi selamat untuk Datuk Seri bertanding?

Insya-ALLAH, saya tidak boleh mendakwa bahawa itu adalah kerusi saya. Pertama, pilihan parti itu adalah keputusan Muhyiddin sebagai Presiden parti. Saya akan akur kepada keputusan parti. Keduanya, saya telah berada di Gombak sekian lama. Saya menang 1999 di DUN Hulu Kelang dalam keadaan seluruh Selangor adalah kubu kuat BN, saya menang.

Kemudian di peringkat Parlimen sehinggalah hari ini, satu tempoh yang panjang, saya telah memberikan khidmat saya kepada rakyat di Gombak dan seluruh negara. Saya serahkan kepada mereka. Itulah proses demokrasi setiap hujung penggal, lima tahun saya akan kembali kepada rakyat. Biarlah rakyat menentukan siapakah yang layak mewakili mereka di sesebuah kerusi Parlimen.

Mohamed Azmin (kiri) ketika diwawancara Sinar Ahad di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mohamed Azmin (kiri) ketika diwawancara Sinar Ahad di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.


ANEKDOT


Jika tidak masuk politik, Azmin guru MRSM

Dahulu saya pergi belajar ke luar negara atas tajaan Mara dan apabila balik ke Malaysia, saya mempunyai kontrak mengajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Saya pernah menjadi guru di MRSM Terendak, Melaka mengajar Matematik dan Matemaik Tambahan.

Salah seorang murid saya ialah bekas Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim. Saya mengajar beliau di Tingkatan 4 dan 5 di MRSM Terendak. Saya meninggalkan bidang pendidikan dan menjadi pegawai khas Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan. Saya tidak pernah aktif dalam politik UMNO walaupun ketika Anwar menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri. Jadi tidak benar dakwaan saya ada DNA UMNO.

Bertemu Dr Mahathir di London

Sejak 1998, saya terputus hubungan dengan Dr Mahathir selama 17 tahun. Sebelum itu kami memang akrab. Majlis perkahwinan saya pada 1988 dihadiri oleh Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali. Saya masih ingat tarikh perkahwinan itu pun ditentukan oleh mereka iaitu pada 7 Ogos 1998 walaupun sebenarnya saya mahu pilih tarikh 8 Ogos 1988 (8.8.88).

Sehinggalah 2015, saya mendapat mesej Tun ingin bertemu saya. Akhirnya pertemuan diatur di London dan buat kali pertama setelah terputus selama 17 tahun kami bertemu. Sekembali dari London, kami mula lancarkan gerakan deklarasi rakyat. Alhamdulillah setelah menang PRU 2018, Dr Mahathir mencadangkan saya ke peringkat pusat walaupun saya berat untuk meninggalkan Selangor.

Cerita sebenar ‘Langkah Sheraton’

Panjang cerita (langkah Sheraton). Saya akan menulis tentang perkara apa yang berlaku yang kononnya disebut sebagai Langkah Sheraton. Langkah Shareton hanya jamuan. Tapi yang digambarkan adalah satu revolusi berlaku.

Buat masa ini, saya belum mahu menceritakannya. Satu masa nanti kita akan tahu apa sebenarnya berlaku. Apa pun kena terima hakikat Dr Mahathir meletakkan jawatan. Pastinya Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab mengisi kekosongan itu.