Intervensi pro-aktif banteras ekonomi gelap, bantu sektor runcit

LIN LOONG
LIN LOONG
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peneraju kumpulan perniagaan terkemuka telah menggariskan langkah-langkah intervensi pro-aktif yang boleh dilaksanakan kerajaan untuk membantu pemulihan industri runcit Malaysia yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa PKS Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Koong Lin Loong berkata, pada 2020, industri peruncitan mencatat prestasi terburuk dalam tempoh lebih 20 tahun dengan hanya meraih RM90 bilion dari segi jualan.

Koong menjelaskan bahawa walaupun beliau mengambil pendirian optimistik berwaspada mengenai prospek industri bagi tahun ini - dijangka lebih baik berbanding tahun 2020 - realitinya pemulihan menyeluruh memerlukan lebih masa lagi.

“Satu faktor, pengguna tidak yakin untuk keluar beli-belah. Ramai yang pergi pusat beli-belah atau kedai untuk melakukan pembelian khusus, kemudian pulang ke rumah. Mereka tidak lagi membelek atau meluangkan masa di pusat beli-belah seperti sebelum ini,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Ahad.

“Sebelum pandemik, pengguna pergi ke pusat beli-belah untuk berbelanja, kemudian meluangkan masa untuk makan atau menonton filem sebelum pulang. Sekarang, tiada lagi aktiviti seumpamanya. Saya rasa 90 peratus aktiviti sebegitu sudah tiada,” kata Koong.

Koong juga berpendapat bahawa berdasarkan kadar proses vaksinasi Covid-19 yang sedang dilaksanakan, tidak mungkin 80 peratus penduduk dapat diberi vaksin menjelang akhir tahun ini.

“Secara keseluruhannya, kami tidak menjangka pemulihan segera bagi industri ini,” kata beliau.

Dalam usaha kerajaan membantu menyelamatkan industri peruncitan dan pekerjaan ribu rakyat yang bergantung kepadanya, Koong menyarankan beberapa siri kaedah intervensi yang boleh dilaksanakan dengan segera.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan perlu meningkatkan dan meluaskan langkah-langkah yang membantu banyak perniagaan seperti program subsidi gaji. Ini perlu disasarkan bagi membantu pengusaha di dalam industri runcit.

“Sama penting ialah moratorium pinjaman bagi perniagaan runcit. Ia perlu diperluaskan kerana ia akan membantu mereka yang telah terjejas untuk meringankan aliran tunai mereka. Kita semua maklum, sektor runcit semuanya berkaitan dengan aliran tunai,” katanya.

Koong berkata, satu lagi cara kerajaan boleh membantu aliran tunai perniagaan, ialah dengan menjadualkan semula pembayaran cukai bulanan kepada syarikat persendirian dan pemilik tunggal syarikat.

“Di sebalik harus membayar cukai secara bulanan, syarikat-syarikat dibenarkan membayarnya sekali setiap dua bulan,” ujarnya.

Koong berkata, pemansuhan larangan pergerakan antara negeri bergantung kepada SOP yang jelas dan boleh diamalkan, juga sangat penting untuk kesinambungan hayat banyak industri, terutama runcit dan pelancongan.

“ Juga akan menambah baik kehadiran lebih ramai pelancong, yang mana bagi kebanyakan peruncit di pusat beli-belah hinggalah gerai tepi jalan, amat bergantung harap bagi mendapatkan jualan,” katanya.

Terakhir, Koong juga menekankan keperluan bagi pihak berkuasa untuk menangani `ekonomi gelap’, terutama penjualan barangan haram atau seludup seperti rokok seludup.

“Langkah-langkah yang diumum semasa Belanjawan 2021 disasarkan untuk mengekang perdagangan rokok seludup adalah bagus, namun ia tidak memberi impak positif terus kepada industri runcit.

“Peniaga-peniaga sah mematuhi peraturan dan menanggung kos tinggi berbuat demikian. Namun malangnya, perniagaan haram melanggar undang-undang dan menjual barangan tidak sah dan seludup pada harga murah, menjadikannya amat sulit bagi perniagaan sah untuk bersaing. Ini disebabkan pengguna akan beralih kepada produk tidak sah yang lebih murah berbanding produk sah yang mahal,” kata Koong.

Sementara penguatkuasaan adalah penting, Koong berkata, kerajaan perlu menutup ketirisan dan membanteras ‘kawasan kelabu’ bagi membasmi perdagangan tidak sah untuk menjaga perniagaan sektor peruncitan.