Azmin ajak UMNO bincang isu 13 kerusi panas

Mohamed Azmin ketika diwawancara Sinar Ahad baru-baru ini.
Mohamed Azmin ketika diwawancara Sinar Ahad baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) mengajak UMNO untuk kembali ke meja rundingan bagi membincangkan sekurang-kurangnya 13 kerusi Parlimen yang menjadi salah satu punca keretakan dalam kerjasama parti tersebut.

Menurut Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, UMNO tidak seharusnya memusnahkan kerajaan yang dibina bersama sejak setahun lalu.“Hanya 13 kerusi yang menjadi pertikaian. Yang dikatakan mereka menang atas tiket parti lain (UMNO) dan kemudian mereka pindah ke parti lain (Bersatu).“Tetapi pertanyaan saya ialah apakah dengan 13 kerusi ini kita mahu musnahkan 222 kerusi lagi?

“Apakah kerana 13 ini kita mahu runtuhkan sebuah kerajaan yang kita bina bersama? Maka saya ingin ambil pendekatan, jika itulah isunya, ayuh mari kita tumpu perbincangan terhadap 13 kerusi ini. Itu pendekatan yang patut diambil,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Ahad.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, adalah tidak wajar untuk mengorbankan sebuah kerajaan dan kerjasama politik hanya disebabkan perbalahan tersebut.

“Kita berbeza pandangan 13 (kerusi Parlimen), tetapi yang ada bakinya 209 kerusi tiada masalah. Mengapa kita harus bergaduh kerana 13 (kerusi Parlimen) ini. Jadi saya fikir, kita perlu letakkan objektif kita secara jujur.

“Saya tidak kata 13 kerusi ini tiada masalah. Kalau itulah yang menjadi tuntutan mereka, ayuh kita bincang. Jangan kerana 13 kerusi Parlimen ini seluruh kerajaan mahu diruntuhkan. Saya rasa itu tidak adil,” ujar Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Menurut beliau, pada masa sama rakyat sedang memerhati dan menginginkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil demi masa depan mereka.

“Rakyat mahukan perpaduan, kekuatan dan kestabilan kerana rakyat tahu dengan kestabilan itu mereka akan dapat jaminan masa depan,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai rundingan pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mohamed Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya PN memberitahu, pihaknya sudah mempunyai formula.

“Kita telah ada satu kerangka tentang bagaimana pengagihan kerusi ini patut dijalankan. Sebagai contoh, kerusi-kerusi penyandang harus dihormati dan dipertahankan. Contohnya, kerusi Parlimen Pagoh telah dimenangi oleh Bersatu maka kekal milik Bersatu.

“Kerusi Marang yang dimenangi Pas, maka kekal untuk Pas. Soal calon, itu hak parti masing-masing. Tetapi sekurang-kurangnya sudah ada satu formula pengagihan untuk dimulakan. Mungkin kerusi-kerusi yang belum dimenangi, kita bawalah ke meja rundingan. Kita lihat kekuatan parti masing-masing,” terang beliau.

Tambahnya, jika sesuatu parti mempunyai calon yang baik dan diterima pengundi, maka Bersatu tidak mempunyai sebarang masalah untuk memberi laluan.

“Tapi kalau kawasan itu parti lain lebih baik, lebih diterima mengapa tidak kita bincang kerana akhirnya pertimbangan kita ialah kita mahu menang, bukan mahu kalah. Bila mahu memang, kena buat perangai orang mahu menang, tapi kalau kata mahu menang, perangai macam orang mahu kalah, saya tak jangka kita boleh menang.

“Untuk menang kita kena berlapang dada, kena hormat antara satu sama lain. Duduk bincang, buat keputusan secara konsensus. Bukan di luar rumah kita, kita dah ada rumah (PN) yang kita bina,. Sudah setahun PN, maka kita boleh duduk bincang dalam rumah ini. Tidak perlu kita ajak orang luar untuk memporak-perandakan rumah kita,” jelas beliau.

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin


Senarai kerusi Parlimen dimenangi UMNO pada PRU14 kini milik Bersatu


JELI, Kelantan - Penyandang: Datuk Seri Mustapa Mohamed (Bersatu)

BAGAN SERAI, Perak - Penyandang: Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bersatu)

MASJID TANAH, Melaka - Penyandang: Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (Bersatu)

LARUT, Perak - Penyandang: Datuk Seri Hamzah Zainudin (Bersatu)

HULU TERENGGANU, Terengganu - Penyandang: Datuk Rosol Wahid (Bersatu)

BUKIT GANTANG, Perak - Penyandang: Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bersatu)

MERSING, Johor - Penyandang: Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Bersatu)

TASEK GELUGOR, Pulau Pinang - Penyandang: Datuk Shabudin Yahaya (Bersatu)

SABAK BERNAM, Selangor - Penyandang: Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu)

TANAH MERAH, Kelantan - Penyandang: Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Bersatu)

BEAUFORT, Sabah - Penyandang: Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu)

BELURAN, Sabah - Penyandang: Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Bersatu)

KUDAT, Sabah - Penyandang: Datuk Abd Rahim Bakri (Bersatu)

LIBARAN, Sabah - Penyandang: Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu)

SIPITANG, Sabah - Penyandang: Yamani Hafez Musa (Bersatu)