Kunjungan pulih hubungan

A
A
A

LAWATAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi telah memulihkan hubungan bilateral antara Malaysia dan Arab Saudi yang terjejas seketika. Muhyiddin telah diundang oleh Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud. Lawatan itu turut berjaya memeterai tiga perjanjian bersejarah.

Pertama, penubuhan Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia. Kedua berkaitan kedatangan jemaah dan ketiga, memorandum persefahaman berhubung hal ehwal Islam. Kerajaan Arab Saudi juga bersetuju memberi tambahan 10,000 kuota haji untuk jemaah Malaysia. Malaysia adalah negara pertama yang melaksanakan Makkah Route Initiative (Inisiatif Laluan Makkah) bertujuan memudahkan jemaah haji dan umrah.

Secara rasminya, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Arab Saudi bermula pada tahun 1961 apabila kedua-dua negara telah membuka kedutaan di ibu kota masing-masing.

Malaysia dan Arab Saudi sebelum menjadi negara moden dikenali sebagai Tanah Melayu dan Arab. Hubungan antara Tanah Melayu dan Arab sudah lama terjalin sebelum kemerdekaan lagi dan berkembang semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka (1400–1511).

Kesultanan Melayu Melaka dan Arab merupakan pusat perdagangan serta keagamaan. Oleh itu, hubungan awal tertumpu dalam bidang perdagangan dan membawa ajaran Islam ke Kepulauan Melayu. Pedagang Arab yang berasal dari Oman, Aden dan Jeddah memilih Melaka sebagai salah satu pusat komersial utama mereka.

Menurut penjelajah Portugis ketika itu, Tomé Pires dalam bukunya Suma Oriental, pedagang Arab membawa ke Melaka pelbagai barang dagangan termasuk minyak wangi, pewarna, kismis dan perak. Hubungan awal antara Tanah Melayu dengan Arab terjejas ketika penjajahan Portugis dan Belanda. Namun, hubu-ngan Arab diteruskan dengan negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Johor dan Kedah yang tidak di bawah kuasa Portugis dan Belanda.

Semasa pemerintahan British pada abad ke-19, orang Arab dibenarkan menjalankan akitiviti perniagaan dan agama di Tanah Melayu. Interaksi antara masyarakat tempatan dengan penduduk Arab kembali semula dan telah melahirkan masyarakat berturunan Arab yang telah menyumbang dalam bidang keagamaan, pendidikan, kehakiman, perniagaan dan politik.

Selepas kemerdekaan, pemimpin Malaysia telah menunjukkan minat untuk mengadakan hubungan mesra dengan negara dari Timur terutama Arab Saudi disebabkan faktor agama dan perdagangan. Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman al-Hajj merupakan sahabat kepada Raja Arab, Raja Faisal. Pada 1970, Raja Faisal telah melawat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Bertepatan dengan lawatan Raja Faisal, Tunku Abdul Rahman dilantik secara rasmi sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang pertama. Kini, hubungan antara kedua-dua negara tidak terhad dalam bidang agama sahaja. Malaysia-Arab Saudi mempunyai kepentingan bersama yang memerlukan kerjasama dan koordinasi dalam bidang ekonomi, pendidikan, keselamatan, alam sekitar serta haji dan umrah.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan pentingnya hubungan bilateral Malaysia-Arab Saudi dan hasrat kerajaan Malaysia untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang teknologi.

Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia atau Saudi-Malaysian Coordination Council (SMCC) telah ditubuhkan ketika kunjungan rasmi Muhyiddin ke Arab Saudi. SMCC bertujuan meningkatkan kerjasama kedua-dua negara ke tahap lebih komprehensif dan strategik. Kedua-dua negara juga menekankan pentingnya usaha memperkukuhkan hubungan ekonomi dan perdagangan dengan meneroka peluang pelaburan serta meningkatkan kerjasama dalam bidang sains, teknologi dan industri makanan sejajar dengan hasrat Wawasan 2030 kerajaan Arab Saudi.

Semasa kunjungan hormat Muhyiddin, isu permasalahan yang dihadapi ummah turut dibincangkan seperti masalah pengganas dan nasib masyarakat Palestin. Kedua-duanya bersetuju mengatasi masalah keganasan dan meningkatkan kerjasama bagi mempromosi keamanan serta keselamatan melalui kerangka Organisation of Islamic Cooperation (OIC).

Malaysia-Arab Saudi mempunyai kepentingan bersama yang memerlukan kerjasama dan koordinasi dalam pelbagai bidang.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya