Sastera Junjungan penuh hikmah

Masjid Nabawi di Madinah sekarang. Penyair Hassan Ibnu Thabit pernah diberikan satu sudut khas di masjid ini pada zaman Nabi Muhammad SAW bagi mempertahankan Islam daripada serangan syair musyrikin.
Masjid Nabawi di Madinah sekarang. Penyair Hassan Ibnu Thabit pernah diberikan satu sudut khas di masjid ini pada zaman Nabi Muhammad SAW bagi mempertahankan Islam daripada serangan syair musyrikin.
A
A
A

SEBUAH hadis daripada Ubay bin Ka’ab, dengan jalur sanadnya yang sahih, yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Sesungguhnya dalam syair itu terkandung di dalamnya hikmah.”

Baginda Junjungan menggunakan perkataan ‘hikmah’, bermaksud karya sastera itu memiliki kebijaksanaan, akhlak, ibrah dan keajaiban. Hikmah bererti keilmuan sebagai panduan hidup, dan pencegah kepada kebodohan dan kegelapan. Hikmah juga bermaksud memiliki keajaiban, seperti sifat kemuliaan dan kehormatan dalam pembentukan sahsiah dan jamaah.

Menurut Imam an-Nawawi, hikmah adalah ajaran yang berisi makrifat ALLAH SWT, proses pemurnian jiwa, pembenaran sesuatu yang haq, dan hijab daripada tunduk kepada hawa nafsu dan kebatilan. Hikmah penghalang terjadinya mudarat atau kesulitan, dan mendahulukan kemaslahatan masyarakat.

Para pengkaji sastera Islam mengistinbatkan, hadis ini sebagai sebuah konsep sastera yang memenuhi tuntutan Islam dalam aspek akidah, syariat dan tasawwuf, petanda penyerahan dan pengabdian kepada Maha Pencipta.

Karya sastera yang baik itu membawa tugas mengajak kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Teori sastera Islam banyak yang merujuk hadis ini untuk dijadikan prinsipnya.

Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin meriwayatkan hadis yang diceritakan oleh Saidatina Aisyah RA, “Dahulu para sahabat berlumba-lumba membawakan syair-syair pujian mereka di hadapan Nabi Muhammad SAW dan baginda tersenyum mendengarnnya.”Dalam hadis yang lain, Junjungan bersabda, mafhumnya, “Bahawa syair itu lebih tajam daripada pedang,” dan “Darah syuhadak akan sama ditimbang dengan tinta pengarang.”

Kesemua sabda Junjungan itu, memberi isyarat bahawa baginda bersifat positif terhadap kedudukan sastera di sisi Islam, dan mengharapkan para pengarang dapat memenuhi tugasnya selari dengan ajarannya.

Penyair terkemuka, Kaab ibnu Malik dan Abdullah ibnu Rawahah, membacakan syair mereka untuk berdakwah, dan paling istimewa Hassan Ibnu Thabit diberikan sebuah mimbar khas di satu sudut Masjid Nabawi, bagi mempertahankan serangan syair musyrikin yang menentang seruan Islam.

Artikel Berkaitan:

Kegelapan

Bagaimanapun, seandai bersastera boleh membawa manusia kepada kegelapan, daripada Ibnu Umar Nabi SAW bersabda, mafhumnya, “Lebih baik salah seorang daripada kamu memenuhi perutnya dengan nanah daripada dia memenuhinya dengan syair.” (Hadis riwayat Imam Bukhari).

Dengan keras, Junjungan melarang para pengarang yang leka dalam situasi “ghaun” sesat dan “yahimun” berkelana sesuka hati. Kegiatan mengarang dalam ilusi kegilaan dan ditarik oleh segala bentuk mania, sesungguhnya sangat berbahaya, sama seperti barah kepada manusia, yang akan merosakkan semua organ dan melarat kepada kebinasaan masyarakat.

Nabi memandang jijik kepada pengarang-pengarang sedemikian. Apa lagi pengarang yang berusaha mendapat ganjaran dan kehormatan berlebihan, seperti amalan penyair jahiliyah. Imam an-Nawawi menyatakan, andainya sastera bersih daripada perbuatan keji, hukumnya dibenarkan. Malah, menjadi wahana pengembangan ajaran agama.

Kerja mengarang boleh menjadi sebuah ibadat atau maksiat. Pada asalnya, seni kepengarangan hukumnya mubah atau harus, sama kedudukannya dengan cabang seni yang lainnya. Dizinkan asalkan memenuhi tuntutan akidah, syariat, akhlak dan estetik Islam.

Malah, jika dilakukan dengan niat ikhlas, mencari keredaan-Nya, dia berdiri di landasan amal saleh. Bagaimanapun, hukum itu boleh berubah, seandainya pengisiannya bertentangan dengan tasyrik Islam, tergantung kepada sikap pengarang, warna karya dan impaknya kepada khalayak.

Bidang seni sama juga dengan bidang-bidang ilmu sejarah, ekonomi dan politik, bukanlah termasuk dalam rukun akidah. Dengan melaksanakan semuanya mengikut al-Quran dan hadis, bererti pengarang mengikuti acuan Allah, sibghatullah, yang mampu menjana manusia menjadi mukmin yang memiliki sahsiah berjati diri.

Kebenaran

Jumhur ulama berpendapat, bersastera termasuk dalam urusan keduniaan, yang selaras dengan sabda Junjungan, riwayat Imam Muslim, “Antum a’lamu bi amri dunyakum”, mafhumnya “Kamu lebih mengetahui dengan urusan duniamu.” Manusialah sendiri dengan kepandaiannya mengatur urusan kesusasteraan ini.

Dalam hayatnya, Nabi Muhammad SAW sangat mengambil berat tentang kehidupan sastera pada zamannya. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, yang maksudnya, “Puisi adalah kata-kata yang disusun. Apa yang bertepatan dengan kebenaran, itu adalah kebaikan, dan apa yang tidak bertepatan dengan kebenaran, ia adalah tidak terdapat kebenaran.” Hadis ini menjelaskan peranan bahasa dan signifikasi isinya dalam pembinaan karya sastera. Puisi terbentuk hasil daripada penyusunan diksi, seandainya susunannya baik, bersistematis dan estetik, karya itu akan menjadi unggul. Disokong pula dengan muatan yang berisi kebijaksanaan, keilmuan dan pemikiran.

Tegasnya, Nabi Muhammad SAW, memberikan panduan bahasa dan pengisiannya menjadi prinsip penciptaan penulisan karya sastera.

Tazkirah kecil ini memberikan peringatan, pengarang hendalah senantiasa sedar tugasnya dan sedar tanggungjawab yang terletak di bahunya. Pengarang yang terlalu menumpukan kepada penulisan, sehingga karyanya menguasai masanya, terlalu dirutinkan dengan kerja mengarang; tetapi alpa dengan al-Quran dan al-hadis dan hal-hal keislaman dan peribadatan, menyebabkan kerja kepengarangannya tercela.

Ulamak al-Mubarakfuri, selari dengan Imam al-Bukhari, berkata pendominasian berkarya melupakan zikir kepada Yang Berkuasa membawa kebinasaan. Junjungan mewasiatkan, sastera yang taat kepada syariat dan menjunjung tasyrik untuk syiarnya adalah digalakkan. Kita pada akhir zaman ini, dapat belajar memahami konsep dan tradisi sastera Islam itu.

Dalam konteks ini, Zaman Abbasiyah pernah mendirikan Rumah Hikmah, sebagai kegiatan transformasi keilmuan sastera, dan pustaka penyimpan karya terjemahan daripada Greek, Romawi dan Parsi. Hikmah kemudiannya berjaya membentuk tamadun sastera Islam.

Tidak syak lagi, dengan merujuk hadis-hadis, kita diajar supaya mengaplikasikan prinsip hikmah dan ibrah, untuk menggerakkan sastera tanah air ke arah yang lebih dinamik, memenuhi tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.