Ringgit lemah harga naik

A
A
A

RAMAI orang mengeluh mengenai kenaikan harga barang makanan, sama ada makanan manusia atau haiwan. Yang terbaharu harga daging.

Harga daging tempatan dikhabarkan sudah mencecah RM40 sekilogram dan diramalkan naik sehingga RM45 bergantung kepada tempat asalnya dan di mana ia dijual.

Sama ada daging tempatan atau import, harganya bukanlah ditentukan di Gerik atau Kuala Lumpur ataupun mana-mana saja tempat ia dijual. Ia tidak juga ditentukan oleh penjual dan pembeli semata-mata.

Sebahagian besar proses penentuan harga ini berlaku jauh daripada pandangan mata peniaga dan pengguna iaitu di Pasaran Mata Wang seperti New York, London, Hong Kong dan Singapura.

Naik turun mata wang termasuklah mata wang ringgit, bergantung kepada kekuatan ekonomi dan kestabilan politik negara yang diwakilinya. Lagi kukuh ekonomi sesebuah negara, lagi tinggilah nilai mata wangnya.

Sejak setahun lalu, harga barang dan perkhidmatan turut dipengaruhi oleh pandemik Covid-19. Kawalan pergerakan telah menyebabkan rantaian bekalan terganggu dan sekali gus melonjak naik harga.

Sebab itulah apabila mata wang ringgit dilanda krisis mata wang Asia 1997/1998, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menyekat mata wang ringgit daripada dimanupulasi dengan mengikat nilainya pada kadar RM3.80 bagi setiap AS$1.

Walaupun satu dunia mengutuk tindakan itu dan meramalkan kehancuran ekonomi Malaysia, namun ia berjaya menstabilkan nilai ringgit dan membantu memulihkan ekonomi tanpa perlu meminjam daripada Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pada tahun 2005, Perdana Menteri ketika itu yang merupakan Menteri Kewangan, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menarik balik ikatan tersebut. Dengan itu, kadar tukaran dan nilai ringgit naik dan turun mengikut permintaan ke atasnya.

Pengapungan kadar tukaran ringgit memberi kesan baik apabila nilainya naik secara berterusan selama kira-kira sembilan tahun. Maksudnya, dengan jumlah ringgit yang lebih kecil, kita boleh membeli satu dolar Amerika.

Misalnya, ketika ringgit ditambat, kita memerlukan RM3.80 untuk membeli satu dolar Amerika tetapi selepas tambatan, nilai ringgit kita pernah naik sehingga kita hanya memerlukan RM2.93 sahaja untuk membeli satu dolar Amerika.

Namun, sejak tahun 2015 ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, nilai ringgit mula jatuh sehingga lebih buruk daripada masa krisis mata wang 1997/1998.

Pada 7 Jun 2015, kadar tukaran ringgit kembali kepada RM3.80 atau kadar sebenarnya RM3.8092 bagi satu dolar. Kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar berterusan sampai hari ini. Kadar sekarang adalah sekitar RM4.04 bagi satu dolar.

Gabungan gangguan rantaian bekalan dan kadar tukaran ringgit yang lemah menyebabkan harga semua barangan import meningkat bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.

Seperti yang telah saya sebut berulang kali, masalah kita menjadi lebih berat setiap kali nilai ringgit jatuh dan pengeluaran makanan dunia merosot kerana kita terlalu bergantung kepada makanan import.

Masalahnya, bukan kita sahaja bergantung kepada makanan import, malah ayam, itik, kerbau, lembu, ikan dan kucing kesayangan kita pun bergantung kepada makanan import juga. Kalau bukan makanan siap, bahan mentah untuk mengeluarkannya seperti kacang soya, jagung dan beras.

Maaf cakaplah kalau saya kata, dasar dan program pertanian kita dari dulu hingga sekarang adalah indah khabar daripada rupa walaupun minat dalam kalangan petani untuk mempelbagai dan menambah pengeluaran cukup tinggi.

Sekarang kedua-dua faktor itu – kelembapan nilai ringgit dan gangguan rantaian bekalan berlaku serentak. Maka, tidak hairanlah kalau harga makanan meningkat dan bekalan tersekat di sana sini. Wallahuaklam.

Naik turun mata wang bergantung kepada kekuatan ekonomi dan kestabilan politik negara yang diwakilinya.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara