Lewat 5 minit, penumpang kematian bapa dilarang naiki pesawat

AIR ASIA
AIR ASIA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pelayar Twitter meluahkan rasa kecewa kepada sebuah syarikat penerbangan tambang murah apabila melarang seorang penumpang yang kematian bapanya menaiki pesawat gara-gara lewat lima minit.

Nurul Adira Mohamad menerusi Twitternya memberitahu, insiden itu berlaku pada 10 Februari lalu.

Bukan mahu memburukkan syarikat penerbangan itu tetapi sekadar peringatan agar tidak berulang pada masa akan datang.

Kata Adira, seorang penumpang, Siti Aisyah Thomas, menerima berita ayahnya meninggal dunia di Tawau pada 12.30 tengah hari.

Susulan kehabisan tiket di Johor Bahru ke Kuala Lumpur, Siti Aisyah terpaksa membeli penerbangan tiket dari Kuala Lumpur ke Tawau pada hari sama jam 5.25 petang.

Dari Johor Bahru, Siti Aisyah telah menumpang rakannya Kuala Lumpur International Airport (KLIA) untuk mengejar penerbangan jam 5.25 petang.

Namun malang nasibnya, setiba di pintu K2 pada jam 5.20 petang, dia tidak dibenarkan masuk walhal pada masa sama terdapat tujuh orang belum menaiki pesawat dan masih beratur.

Jelas Adira, abang kepada Siti Aisyah turut menaiki penerbangan yang sama dan telah maklumkan kepada krew kabin dan 'ground staff' untuk menunggu adiknya kerana melibatkan hal kecemasan.

Artikel Berkaitan:

Setelah menemui jalan buntu, akhirnya Siti Aisyah terpaksa membeli tiket baru dari KLIA ke Kota Kinabalu untuk keesokkan harinya.

Sedangkan, Siti Aisyah telah membelanjakan RM1,000 lebih untuk tiket pertamanya dan tiket kedua terpaksa dibantu rakan-rakannya menerusi derma kilat.

Menurut Adira, penumpang itu terpaksa bermalam di KLIA dalam keadaan sugul dan sedih untuk menunggu penerbangan pada 11 Februari ke Tawau sambil berharap sempat bertemu buat kali terakhir arwah ayahnya.

"Saya amat terkilan dengan 'layanan baik' dari pihak syarikat terhadap Siti Aisyah. Benar dia terlewat tetapi mungkin ada jasa baik dan budi bicara kerana ia adalah kecemasan melibatkan ahli keluarga.

"Perkara ini juga telah dimaklumkan lebih awal kepada pihak berkaitan namun tidak membantu.

"Saya benar-benar berharap kejadian ini tidak akan berulang pada masa akan datang. Semoga ALLAH membalas 'budi baik' anda semua kepada Siti Aisyah," katanya.

Sementara itu, netizen turut bersimpati dan menzahirkan ucapan takziah atas apa yang menimpa Siti Aisyah.

Farizah Farouk,"tak patutnyaaa... sepatutnya lebih berkemanusiaan dan prihatin... bukan bayar seringit dua.. things like this should not happend".

Kata Kudin, " Walaupun ada peraturan (mungkin)... nilai kemanusiaan perlu diambil kira, ini soal kematian tambah lagi orang disayangi... bukan pergi kenduri...".

Dalam pada itu, menerusi portal berita, syarikat penerbangan berkenaan memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang terpaksa ditempuh oleh penumpang (Siti Aisyah).

Kenyataan ringkas, syarikat penerbangan itu berkata, pihaknya menantikan maklum balas terus dari tetamu terlibat bagi menyelesaikan perkara tidak diingini.

Mereka juga menyedari tentang insiden tersebut dan cuba menghubungi penumpang berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara sebenar yang berlaku.