X

Kindly register in order to view this article
!

AJL35 jadi rujukan acara siaran langsung dengan SOP ketat

Mohammad Mentek
A
A

KUALA LUMPUR - Penganjuran Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) terbitan TV3 boleh dijadikan sebagai rujukan bagi penganjuran acara hiburan secara siaran langsung dengan pembudayaan norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, pada masa akan datang.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Seri Mohammad Mentek berkata program hiburan itu menjadi contoh bagi penganjuran acara secara langsung dalam keadaan negara sedang berusaha mengawal wabak Covid-19 khususnya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jelas beliau, bagi AJL35 yang akan berlangsung malam esok, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKMM telah menetapkan SOP lebih ketat bagi mengelak berlaku penularan Covid-19.

“Ini (AJL) boleh dijadikan penanda aras untuk mana-mana (acara) siaran langsung yang akan diadakan kelak kerana kita dan MKN telah menggariskan SOP yang amat ketat dengan penekanan prinsip pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan aktiviti sanitasi.

“Untuk AJL35, kita juga tetapkan setiap persembahan artis dihadkan kepada enam individu di atas pentas dan tanpa kehadiran penonton,” katanya ketika ditemu bual Buletin Utama TV3 selepas membuat pemantauan pematuhan SOP pada sesi raptai penuh AJL35 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam ini.

AJL35 yang mempertandingkan 12 lagu adalah edisi AJL yang pertama bersiaran langsung tanpa kehadiran penonton untuk mengekang penularan wabak penyakit itu.

MKN sebelum ini menetapkan semua jenis acara, pertunjukan, penggambaran dan persembahan langsung dalam industri kreatif di dewan, auditorium, premis seni, pusat konvensyen, stadium dan studio dibenarkan di kawasan PKPB dan PKP Pemulihan (PKPP) tanpa kehadiran penonton, dan jumlah pengurusan, artis serta kru terhad kepada 70 peratus di kawasan PKPB dan 100 peratus bagi PKPP. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!