Katil OKU Brand’s Zamilah muncul juara

Zamilah dan suami bersama katil ciptaan mereka.
Zamilah dan suami bersama katil ciptaan mereka.
A
A
A

KUANTAN – Katil pesakit inovasi Brand’s Zamilah muncul juara pertandingan Hari Inovasi Felda Wilayah Jengka, baru-baru ini.

Pemenangnya, Zamilah Hamzah berkata, ini merupakan kemenangan beliau buat julung kaling dalam pertandingan Hari Inovasi peringkat tersebut selepas menyertainya kali pertama, sejak tahun lalu.

Menurutnya, pada tahun ini beliau kembali mempertingkatkan kualiti dan menjalankan improvisasi kedua terhadap katil pesakit keluaran syarikatnya Melur Grill, dengan menambahbaik fungsi boleh laras secara automatik.

“Dengan fungsi ini, hanya menekan butang khas, pesakit boleh laras sendiri tahap baring atau kedudukan katil mengikut keselesaannya sendiri, tanpa bantuan orang lain.

“Ia sangat mudah dan efektif. Tahun lalu, katil ini dilaraskan secara manual dan tahun ini, ia berinovasi dengan lebih efisyen. Alhamdulillah, berkat kesungguhan suami akhirnya kami sekali lagi mengecap kemenangan ini.

"Semuanya kenangan manis dan hadiah atas daya usaha dan melalui fasa pengalaman pahit, suatu masa dulu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam pada itu Zamilah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sinar Harian yang menjadi pencetus kepada pengenalan produknya di mata penduduk setempat dan luar Pahang.

Menurutnya, ia bermula apabila kedainya diuji dengan kejadian rompakan di mana Sinar Harian menjadi satu-satunya akhbar yang melaporkan kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

“Bertitik tolak dari situ, wartawan yang menemu bual saya telah terlihat katil ciptaan suami yang berada dalam premis. Kebetulan baru siap dan nak dihantar kepada pesakit. Dari situ, beliau telah menulis mengenainya dan katil inovasi ini mula mendapat perhatian umum.

“Saya juga telah mempaternkan katil ini di bawah MyIPO. Dan sejak itu rezeki bertambah murah dan Melur Grill mula mendapat perhatian media massa, hingga saya dijemput ke banyak pameran inovasi seluruh negara,” katanya.

Zamilah berkata, katil itu telah diusahakan suaminya sejak lima tahun lalu, di mana ketika itu beliau diuji terlantar sakit sewaktu melahirkan anak.

Katil itu katanya telah menerima empat anugerah termasuk Anugerah Emas dari Felda Wilayah Jengka.

Zamah turut menerima pengiktirafan menerusi Anugerah 12 Ikon Usahanita Malaysia; Anugerah Usahanita Berdaya Maju, Jerantut; Anugerah Usahawan Felda Wilayah Jengka 2018; Anugerah Ikon Usahawan Desa Jengka 12 dan Anugerah Emas Pertandingan Inovasi Wilayah Jengka 2019

Beliau optimis menjana keuntungan berganda dengan jualan 1,000 unit setahun serta menggalakkan program kerjasama dengan wakil rakyat setempat.

Dalam program ini katanya, beliau berharap wakil rakyat, jabatan mahupun NGO dapat menjadikan sumbangan dalam program kebajikan kepada penduduk di negeri ini.

Selain katil, Zamilah turut aktif mempromosikan Kursus Mobile Spa, Rawatan Resdung Tanpa Asap di bawah di bawah syarikatnya, Melur Spa & Butik.