Covid-19: Thailand lapor satu lagi kematian

No Image Caption
A
A
A

BANGKOK - Thailand mencatatkan 78 kes harian baharu Covid-19 dan satu kematian dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan di negara itu kini sebanyak 26,757 kes dengan 86 kematian.

Kes kematian itu merupakan seorang wanita berusia 56 tahun dari Samut Sakhon, iaitu pusat gelombang penularan terbaharu di Thailand. Wanita itu yang menghidap diabetes disahkan positif Covid-19 pada 19 Februari dan meninggal dunia pada Jumaat.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), daripada 78 kes baharu tersebut, 67 merupakan jangkitan tempatan merangkumi 34 yang dikesan menerusi pengesanan kes aktif dan 33 disahkan selepas mendapatkan rawatan di hospital manakala baki 11 lagi adalah kes import.

“Pada masa ini terdapat 585 pesakit sedang menerima rawatan di hospital,” kata CCSA.

Sementara itu, Ketua Setiausaha badan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Thailand, Dr Paisarn Dunkum berkata, badan tersebut akan membantu hospital swasta mengimport serta mendaftarkan vaksin Covid-19.

“Kelulusan akan diberikan dalam tempoh 30 hari selepas dokumen lengkap diserahkan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: