Suami, isteri terselamat kereta terbabas dalam curam

A
A
A

HULU TERENGGANU - Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terjunam dalam curam sedalam kira-kira 30 meter di Kilometer 397.7 Lebuh Raya Pantai Timur 2, di sini, lewat petang semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 6.30 petang itu, mangsa, seorang tukang masak iaitu Cheng Tin Sang, 63, bersama isterinya, Tan Le Wa, 58, bagaimanapun mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, ketika kejadian mangsa yang menaiki kereta jenis Toyota Camry dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Wakaf Tapai, Marang.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa lelaki hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu terjatuh dalam curam yang kedalamannya kira-kira 30 meter.

"Cuaca ketika itu hujan lebat. Akibat daripada kejadian itu, pemandu alami kecederaan di bahagian belakang dan luka-luka ringan di lengan kiri dan kanan.

"Manakala isterinya yang merupakan penumpang di bahagian hadapan alami kecederaan koyakan tisu di pinggul. Pasangan suami isteri ini beralamat di Wakaf Tapai, Marang," katanya.

Tambah Mohd Adli, kedua-dua mangsa dibantu lima pegawai dan 13 anggota Pasukan Gerakan Am Batalion 9 Kubang Badak, Kuala Nerus, yang kebetulan melalui lokasi kejadian dari Kem PGA Galing, Kuantan, Pahang.

Katanya lagi, tukang masak di Wakaf Tapai bersama isterinya seorang surirumah itu dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk mendapatkan rawatan.

Artikel Berkaitan: