Ujian calitan penumpang houseboat Tasik Kenyir belum disahkan

Orang ramai diminta berwaspada dengan khabar angin di media sosial kononnya terdapat kes pengunjung Tasik Kenyir yang positif Covid-19 yang ditularkan pada Jumaat.
Orang ramai diminta berwaspada dengan khabar angin di media sosial kononnya terdapat kes pengunjung Tasik Kenyir yang positif Covid-19 yang ditularkan pada Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ujian calitan ke atas seorang penumpang houseboat di Tasik Kenyir yang dipercayai menjadi kontak rapat pesakit positif Covid-19 belum disahkan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata, orang ramai diminta lebih berwaspada terhadap berita tular yang mendakwa lelaki berkenaan positif Covid-19.

"Lelaki tersebut hanyalah kontak rapat kepada pesakit Covid-19 (isterinya) namun beliau tidak mempunyai sebarang gejala yang boleh dikaitkan dengan pandemik itu.

"Justeru, orang ramai diminta lebih berwaspada dengan khabar angin di media sosial kononnya terdapat kes pengunjung Tasik Kenyir yang positif Covid-19 yang ditularkan sejak semalam (Jumaat)," katanya ketika dihubungi, pada Sabtu.

Menurut Razali, lelaki itu menjalani ujian calitan di Hospital Hulu Terengganu selepas isterinya yang berada di rumah disahkan positif Covid-19 pada Jumaat.

"Selepas mendapat maklumat itu, pihak persatuan pelancongan Tasik Kenyir dengan kerjasama Polis Gerakan Marin mengesan lokasi rumah bot yang dinaiki lelaki terbabit.

"Selepas dimaklumkan, lelaki berkenaan telah menjalani ujian calitan di Hospital Hulu Terengganu jam 5 petang pada Jumaat dan hasil ujian itu akan diketahui tidak lama lagi," katanya.

Razali berkata, kesemua pemancing di rumah bot yang dinaiki bersama lelaki tersebut dipakaikan gelang kuarantin berwarna putih dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing di Manir.

Artikel Berkaitan:

"Mereka telah pulang ke rumah tengah hari pada Sabtu dan akan menjalani kuarantin selama 11 hari sehingga keputusan ujian saringan lelaki tersebut diketahui.

"Pemandu dan empat kru di rumah bot itu sahaja yang akan menjalani kuarantin selama 11 hari di dalam rumah bot tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Razali berkata, kes berkenaan disifatkan sebagai terpencil memandangkan pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir akan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Tasik Kenyir merupakan destinasi pelancongan selamat untuk dikunjungi ketika ini. Kita harap orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan berita tidak benar," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial pada Jumaat mendakwa seorang daripada sekumpulan 24 pemancing yang bercuti ke Tasik Kenyir pada Khamis positif Covid-19.