Seorang maut, seorang cedera parah bergaduh di Bangsar

Rakaman kes gaduh di Bangsar tular di laman sosial.
Rakaman kes gaduh di Bangsar tular di laman sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah disyaki terlibat dalam pergaduhan di Jalan Telawi Bangsar di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, dalam kejadian pada jam 1 pagi itu, mangsa berusia 28 tahun sedang berjalan kaki bersama rakannya menuju ke tempat letak kereta selepas minum minuman keras di sebuah restoran.

"Mangsa kemudian terjumpa dengan kumpulan suspek dan berlaku pergaduhan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, akibat pergaduhan itu mangsa mengalami kecederaan serius dipercayai akibat ditoreh dengan senjata berupa pisau selain ditikam dengan botol minuman keras.

"Mangsa kemudian melarikan diri ke arah sebuah pusat beli-belah sebelum terbaring di hadapan sebuah kedai serbaneka sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) oleh rakannya.

"Mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di PPUM. Manakala seorang lagi rakan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, motif kejadian dipercayai akibat dendam lama antara mangsa dan suspek.

"Kita telah mengenal pasti lima orang suspek dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302/326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan cedera parah," katanya.

Anuar turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes itu boleh menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

Video pergaduhan yang dipercayai dirakam oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian didapati tular dalam media sosial.