Mufti minta umat Islam kekal teguh pelihara kedaulatan agama

Luqman Abdullah
Luqman Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) meminta umat Islam kekal teguh memelihara kedaulatan agama Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, beliau turut berdukacita dengan keputusan Mahkamah tinggi meluluskan penggunaan kalimah ALLAH.

Bagaimanapun katanya, PMWP masih percaya isu ini akan diselesaikan dengan cara yang lebih harmoni dalam masa terdekat oleh pihak yang berautoriti dalam negara.

“Perlu diingatkan bahawa sebarang hal yang menyentuh perihal agama secara tidak langsung berkait dengan nilai sensitiviti yang mesti dijaga dengan baik.

“Sekiranya tidak mampu diselesaikan dengan cara yang lebih harmoni, dibimbangkan bakal mencetuskan ketegangan di antara agama serta kaum,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Luqman berharap umat Islam di negara ini terus kekal bersatu atas dasar aqidah Islam yang sahih berteraskan kerangka Ahli Sunnah Wal Jama'ah.

“Ingatlah, bersatunya umat Islam adalah asas pembinaan khayra ummah (umat yang terbaik) sekali gus menjadi tauladan kepada sekalian umat manusia.

“Dalam tempoh pandemik yang sedang melanda negara, umat Islam dinasihatkan mengukuhkan lagi tahap keimanan kepada ALLAH SWT,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, PMWP turut mengajak umat Islam berusaha mendekatkan diri kepada ALLAH solat lima waktu dan berdoa selain menjaga adab berasaskan akhlak Rasulullah SAW.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan pendidikan keagamaan mereka.

Hakim Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan pengisytiharan yang dibuat seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dihalang dengan sekatan atau melarang pengimportan bahan pendidikan.