Kahwin luar negara, jangan takut daftar kelahiran anak

Ruslin (kiri) menyerahkan dokumen sijil kelahiran kepada empat beradik di Kampung Petai Dusun, Rantau Panjang menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar).
Ruslin (kiri) menyerahkan dokumen sijil kelahiran kepada empat beradik di Kampung Petai Dusun, Rantau Panjang menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar).
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasangan suami isteri yang berkahwin di luar negara dan tidak mendaftarkan perkahwinan mereka tidak perlu takut mendaftarkan anak mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan sijil kelahiran.

Difahamkan kebanyakan pasangan yang berbuat demikian berpunca daripada perkahwinan tidak mendapat restu keluarga dan berkahwin lebih daripada seorang.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kebanyakan pasangan takut mendaftarkan perkahwinan sehingga mengabaikan hak anak-anak mereka sebagai seorang warganegara.

"Pesan saya jangan sesekali korbankan masa depan anak-anak dengan tindakan tidak sepatutnya (gagal mendaftarkan sijil kelahiran mereka)," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan dokumen sijil kelahiran kepada empat beradik di Kampung Petai Dusun, di sini menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) pada Sabtu.

Empat beradik yang menerima dokumen sijil kelahiran itu ialah Che Nor Shafikah Che Amat Mudi, 10; Che Mohammad Adam, 8; Che Nor Amiera, 6; dan Che Nur Alisha, 4.

Menurutnya, terdapat 255 pejabat JPN di seluruh negara yang sedia membantu pasangan yang memilih berkahwin di luar negara untuk proses pendaftaran anak-anak.

Beliau berkata, sekiranya ada golongan ibu bapa tidak mampu dari soal kewangan atau pengangkutan untuk ke pejabat JPN, agensi itu akan turun padang memberikan bantuan menerusi Mekar.

Ruslin berkata, sepanjang 2018 hingga Februari 2021 sebanyak 33,244 kes pendaftaran lewat kelahiran telah dikesan di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, JPN mahu penduduk di negara ini tidak mengambil mudah soal pendaftaran anak-anak.

"Pendaftaran ini selari dengan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299)," katanya.

Menurutnya, kes ini banyak berlaku di kawasan yang mempunyai penduduk padat seperti Selangor, Johor dan Sabah.