PKPD di Penjara Tapah, kuarters kakitangan dilanjutkan

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan Batang Padang, Perak yang dijadualkan tamat pada 15 Mac ini dilanjutkan sehingga 29 Mac depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 2,660 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 556 kes positif Covid-19 telah direkodkan," katanya dalam kenyataan mengenai PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) pada Sabtu.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, KKM turut mengesahkan terdapat 562 lagi baki sampel saringan sedang menunggu keputusan, selain masih berlaku penularan kes melibatkan tahanan di penjara itu.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan, PKPD di Asrama Imperial Garments Flat Anjung Tawas Damai, Kinta, Perak pula ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

Katanya, keputusan itu dibuat setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM.

"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 619 ujian saringan (di kawasan itu) dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 389 kes telah dilaporkan.

"KKM juga mengesahkan tiada kes baru Covid-19 direkodkan dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif serta kontak rapat telah diasingkan," katanya.

Artikel Berkaitan: