Beli perlindungan insurans tambahan perumahan

Adnan meninjau dua buah rumah yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Taman Gambang Damai pada Sabtu.
Adnan meninjau dua buah rumah yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Taman Gambang Damai pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Penjawat awam dinasihatkan mengambil perlindungan insurans tambahan termasuk harta benda dalam setiap urusan pembelian perumahan sama ada melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) atau bank komersial.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, penambahan perlindungan insurans itu perlu bagi membolehkan pihak insurans membaiki semula kerosakan jika berlaku musibah seperti bencana alam atau kebakaran.

Menurutnya, penjawat awam perlu menilai semula keseluruhan polisi yang ada supaya perlindungan yang diperoleh meliputi keseluruhan isi rumah.

"Jika ada penjawat awam ingin membuat pembelian atau pinjaman perumahan baharu selepas ini, mereka perlu meneliti keseluruhan polisi supaya mendapat perlindungan.

"Apabila mereka mengambil perlindungan insurans tambahan sekurang-kurangnya dapat memperoleh kos yang telah digunakan atau pelaburan sebelum ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Sumbangan Banjir daripada Cuepacs di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pada Sabtu.

Seramai 530 mangsa banjir Januari lalu yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara terdiri daripada penjawat awam seluruh Pahang menerima sumbangan banjir.

Adnan berkata, pihaknya menerima banyak aduan dalam kalangan penjawat awam yang mereka masih belum menerima tuntutan insurans.

"Jadi, kita minta pihak insurans mengurangkan karenah birokrasi dan prosedur tertentu yang melambatkan tuntutan daripada pemegang polisi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau akan mencadangkan Bank Negara dan Kementerian Kewangan mewajibkan syarikat insurans di Malaysia memasukkan terus perlindungan akibat musibah sebagai terma baharu polisi pembelian rumah.

"Kita lihat ini satu keperluan (pelindungan musibah) kerana setiap tahun berlaku banjir dan ini membawa masalah kepada pemilik yang tidak memiliki perlindungan tambahan untuk kediaman mereka," katanya.