Putrajaya akan dibangunkan jadi Bandar Rekreasi

Annuar (tengah) beramah mesra bersama pemilik kiosk Cheese U Kharul Azman A Karim (kanan) semasa program tinjauan mesra ke Kiosk Usahawan Muda Kota dan Anjung Floria Putrajaya, hari ini. - Foto Bernama
Annuar (tengah) beramah mesra bersama pemilik kiosk Cheese U Kharul Azman A Karim (kanan) semasa program tinjauan mesra ke Kiosk Usahawan Muda Kota dan Anjung Floria Putrajaya, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Putrajaya akan dibangunkan menjadi Bandar Rekreasi bertaraf antarabangsa selain dikenali sebagai pusat pentadbiran negara, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan akan berbincang dengan pihak swasta dan Perbadanan Putrajaya (PPj), bagi memajukan pembangunan Putrajaya untuk 25 tahun akan datang supaya lebih banyak peluang perniagaan diwujudkan, penganjuran aktiviti serta membuka peluang kepada peniaga dan komuniti setempat, menjana pendapatan.

“Saya telah meminta PPj bukan sahaja melakukan penambahbaikan kepada tarikan pelancongan yang sedia ada tetapi juga untuk memikirkan tarikan lain serta produk pelancongan yang baharu dan inovatif agar dapat menarik ramai pengunjung ke Putrajaya,” katanya kepada media selepas program tinjauan mesra ke Anjung Floria di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, Anjung Floria di Presint 4 yang dahulunya merupakan tapak bagi penganjuran Festival Bunga dan Taman Antarabangsa (FLORIA) Diraja Putrajaya, akan dihidupkan sebagai pusat setempat aktiviti rekreasi yang dikenali Pit-Stop@Anjung Floria yang akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang lengkap dan teratur.

“Ia termasuk tapak ekspo, tapak jualan, nurseri pokok, kampung beca, sewaan basikal, kayak, kawalan jauh (RC), ‘cruise’, bot dan pantai berpasir di samping kemudahan rehat dan rawat seperti kafe. Usaha ini dapat menyokong ke arah pemantapan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan, serta Bandar Rekreasi," katanya.

Beliau berkata, tapak ini strategik dari segi kedudukannya yang berhubungan dengan sisiran Tasik Putrajaya, laluan sikal bandar, laluan sikal dan pejalan kaki sisiran tasik serta laluan ‘cruise’ yang telah dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai tempat persinggahan kepada pengunjung, yang menjalankan aktiviti riadah di sekitar Putrajaya.

Katanya, lebih menarik, kawasan ini berlatarbelakangkan panorama tasik Putrajaya dan beberapa binaan ikonik seperti Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Jambatan Saujana.

Annuar berkata, ciri Putrajaya adalah unik kerana ia amat aktif pada hari bekerja dan menjadi sunyi apabila waktu petang, oleh demikian peluang ekonomi perlu diwujudkan dengan memperbanyakkan aktiviti, supaya lebih ramai pengunjung menginap semalam dua atau lebih lama di Putrajaya, yang secara tidak langsung akan menggalakkan perbelanjaan dan ini dapat membuka peluang kepada komuniti setempat menjana pendapatan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, Putrajaya masih tidak ramai penduduk yang kini kurang 100,000 dan pelbagai usaha perlu dilakukan untuk menarik lebih ramai orang tinggal di sini, yang sepatutnya antara 200,000 hingga 300,000 penduduk.

“Industri pelancongan ini memerlukan perancangan namun aspek kawalan perlu ada kerana kita tidak mahu konsep Putrajaya terjejas, dan menjadi sibuk seperti bandar-bandar lain. Matlamat kita adalah Putrajaya tidak boleh hanya sebagai pusat pentadbiran, tetapi mesti menjadi satu bandar yang mampan pada masa yang sama ada gaya hidup tersendiri,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dan kedutaan negara-negara lain juga boleh dilaksanakan dengan membawa binaan replika ataupun taman-taman mini.

Dalam majlis itu, Annuar juga menanam pokok kayu raja sempena Kempen Menanam Satu Juta Pokok di Wilayah Persekutuan bagi peringkat Putrajaya yang merupakan salah satu program Cakna Kehijauan di bawah inisiatif Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin, yang juga selaras dengan Program Penghijauan Malaysia.

Lebih 100,000 pokok akan ditanam di Putrajaya bagi menjayakan kempen tersebut dan selain pokok kayu raja iaitu pokok ikonik Putrajaya dengan jambak bunga kuning berjuntaian, turut ditanam adalah jenis pokok hutan seperti merbau, merawan, pulai dan meranti, serta jenis pokok berbunga seperti semarak api dan tekoma.

Setakat ini, Putrajaya yang dibangunkan berkonsepkan Bandar Dalam Taman mempunyai lebih 700,000 tanaman pokok pelbagai jenis dan spesies, yang juga menjadi tarikan pelancongan. - Bernama