Pasang CCTV sepanjang Sungai Kim Kim

Hassan (kanan) dan Jimmy Puah melihat keadaan air Sungai Kim Kim yang tercemar di bawah Jejantas Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada Sabtu.
Hassan (kanan) dan Jimmy Puah melihat keadaan air Sungai Kim Kim yang tercemar di bawah Jejantas Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada Sabtu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerajaan dicadang memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang Sungai Kim Kim di sini sebagai langkah mengawal aktiviti pencemaran sumber air itu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, langkah tersebut antara yang dilihat praktikal dalam usaha mengawal pencemaran di Sungai Kim Kim yang terus berlaku sehingga kini.

"Sungai Kim Kim yang berada dalam Parlimen Pasir Gudang dan Parlimen Tebrau bukanlah panjang seperti Sungai Nil di Mesir," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan pencemaran di Jejantas Sungai Kim Kim di sini pada Sabtu.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse dan Ketua PKR Cabang Tebrau, Teoh Eng Yoon.

Pada Isnin Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dilaporkan mengesyaki pembuangan sisa kimia lebih besar berlaku di Sungai Kim Kim namun itu berbeza dengan insiden pencemaran sisa toksik dua tahun lalu.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang meninjau sungai itu berkata, pencemaran Sungai Kim Kim kali ini berpunca daripada pelepasan air sisa daripada aktiviti premis dan bukannya pembuangan sisa berjadual.

Hassan mencadangkan penduduk sepanjang jajaran sungai tersebut menjadi mata dan telinga pihak berkuasa termasuk diberikan ganjaran sekiranya membuat aduan terhadap pihak membuang sisa di sungai itu.

Artikel Berkaitan:

Sungai Kim Kim
Sungai Kim Kim

Selain itu, beliau mahu kerajaan meminda Akta Industri Perkhidmatan Air (2006) dan Akta Kualiti Alam Sekeliling (1974) untuk memperuntukkan hukuman lebih berat kepada mereka yang mencemarkan sungai.

Jelasnya, hukuman sedia ada tidak menggerunkan pihak tidak bertanggungjawab mencemarkan sungai malah sehingga kini selepas dua tahun insiden pencemaran Sungai Kim Kim masih tidak ada pihak dihukum dengan sewajarnya.

Katanya, daripada maklumat dan hasil kajian yang diperoleh, terdapat 1,800 sungai di seluruh negara manakala dua sungai paling tercemar ialah Sungai Tukang Besi dan Sungai Buloh di daerah ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Jimmy Puah mendakwa, terdapat banyak kilang haram wujud di daerah berkenaan terutama berdekatan Sungai Kim Kim.

Bekas Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Negeri Johor itu juga mendakwa, terdapat unsur rasuah yang membolehkan kilang-kilang haram tersebut terus beroperasi dan membuang sisa dalam sungai tersebut.

"Kita tidak boleh pindahkan industri berat sedia ada tetapi dicadangkan tidak lagi dibenarkan industri berat dibuka di Pasir Gudang," katanya.