Tiga beradik bunuh ketua lanun

185112
185112
A
A
A

BALING - Berlatar belakang Gunung Pulai serta sawah padi di kaki pergunungan menjadikan panorama di Kampung Che Wan Jusoh di sini sangat indah.

Kawasan terpinggir daripada pembangunan ini bukanlah penghalang orang luar datang merakam momen momen indah di sini terutamanya waktu petang.

Selain menjadi pilihan pasangan pengantin untuk bergambar, ia juga menjadi buruan lensa juru gambar profesional.

Menurut cerita orang penduduk, kampung itu dibuka oleh seorang lelaki bernama Che Wan Jusoh berasal dari wilayah Patani Darussalam.

Ismail Md Hassan, 65, berkata, orang kampung di sini berasal dari benih Patani dan keturunan sama.

"Menurut cerita waris lama, Che Wan Jusoh datang ke kampung ini ketika Patani ditentang angkatan tentera Siam suatu ketika dahulu.

"Dahulu kawasan ini hutan rimba, jadi Che Wan Jusoh lah orang pertama membuka kampung ini," katanya.

185141
185141

Artikel Berkaitan:

Katanya, waris terdahulu meletakkan kampung sempena Che Wan Jusoh bagi memastikan generasi akan datang tidak hilang susur galur mereka.

"Selain itu dua kampung lain di kawasan ini juga diberikan nama Kampung Tok Patah dan Kampung Tok Saban.

"Dua individu itu juga mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Che Wan Jusoh," katanya.

Ismail berkata, sumber ekonomi utama penduduk sejak ia dibuka ialah penanaman sawah padi.

"Selain itu, ada yang buat kerja kampung, ambil baja tahi kelawar, pokok paku aji, menoreh getah dan sumber hutan lain di Gunung Pulai untuk dijual.

"Tetapi zaman sekarang, anak-anak kampung sudah ramai berhijrah ke tempat lain kerja kilang dan sebagainya," katanya.

Usaha sawah padi

Ismail berkata, kawasan pertanian sawah padi telah pun diusahakan oleh generasi pertama hinggalah kini.

Kawasan Kampung Che Wan Jusoh dan sekitar Sungai Limau mempunyai lebih 2,000 penduduk.

Kawasan pertanian seluas kira-kira 53 hektar di sekitar kawasan tersebut dahulunya menggunakan sumber air daripada Gua Air atau juga dikenali sebagai Gua Tembus terletak di Kampung Tok Patah.

"Sumber air dari kawasan gua itu disalirkan ke kawasan bendang di Kampung Tok Patah, Kampung Tok Saban dan juga Kampung Che Wan Jusoh," katanya.

Katanya, sejak pertanian padi semakin moden sumber air dari gua itu tidak lagi digunakan.

"Selepas pengeluaran padi negara dua kali setahun berbanding sekali setahun, air dari gua tidak lagi digunakan kira-kira 15 tahun lepas, sebaliknya kerajaan bina saliran baru gunakan air sungai.

"Kesan perparitan lama masih ada hingga kini, tetapi kebanyakan telah tertimbus kerana pembinaan rumah dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, paras air di Gua Air suatu ketika dahulu dalam dan laju namun kini telah cetek atas beberapa faktor.

Ismail berkata, sistem perparitan lama itu juga dijadikan kawasan bersembunyi oleh penduduk daripada kekejaman tentera Jepun.

Anak Che Wan Jusoh handal

Penduduk, Omar Abu Bakar, 67, berkata, riwayat terkenal disampaikan secara tradisi berkaitan Che Wan Jusoh ialah antaranya mengenai kehebatan tiga anak lelakinya.

"Anak sulungnya bernama Tok Bongkok bersama dua adiknya menerima titah daripada sultan untuk tumpaskan ketua lanun.

"Sultan mahu sama ada dibawa pulang kepala lanun itu. Diceritakan pertarungan tiga beradik dengan lanun itu berlangsung di kawasan bendang hingga hari gelap," katanya.

Katanya, salah seorang adik Tok Bongkok keletihan sewaktu berlawan dengan ketua lanun itu.

"Melihat keadaan itu, Tok Bongkok melontarkan lembingnya dan mengenai belakang tubuh lanun itu yang membawa kepada kemenangan tiga beradik itu.

"Tiga adik beradik itu handal-handal belaka. Pertarungan itu dikatakan berlaku di salah satu kawasan di negeri ini. Tetapi Pak Long tak ingat di mana," katanya.

Omar berkata, keluarga Che Wan Jusoh seperti diceritakan generasi awal dipercayai keturunan Tok Bandar Pulai iaitu Syahbandar Pulai, jawatan yang wujud seawal 1689 hingga 1736 dalam sistem pentadbiran Kedah .

Berpotensi jadi kawasan pelancongan

Manakala penduduk Kampung Tok Patah, Pengerusi Persatuan Kampung Che Wan Jusoh (Penaja), Dollah Zakaria berkata, kawasan Kampung Tok Patah yang berhampiran Kampung Che Wan Jusoh sesuai dibangunkan sebagai kawasan pelancongan.

"Di Kampung Tok Patah ada Gua Badak dan Gua Air yang boleh dibangunkan sebagai kawasan pelancongan.

"Di Gua Badak, kita akan disambut oleh kelawar-kelawar berterbangan. Di Gua Air pula ada keunikan tersendiri," katanya.