Isu kalimah ALLAH: Mapim gesa umat Islam guna undang-undang

Mohd Azmi (berdiri) menyampaikan ucapan pada Program Khas Sempena Israk Mikraj anjuran Mapim Perak di Kompleks Pendidikan Baitul Ridzuan, Kampung Manjoi pada Sabtu.
Mohd Azmi (berdiri) menyampaikan ucapan pada Program Khas Sempena Israk Mikraj anjuran Mapim Perak di Kompleks Pendidikan Baitul Ridzuan, Kampung Manjoi pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa orang Islam di negara ini tidak bertindak di luar peruntukan undang-undang dalam menangani isu kalimah ALLAH seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Mapim berpandangan, sebarang tindakan secara emosi tidak akan menyelesaikan masalah berkenaan tetapi merumitkan lagi keadaan.

Menurutnya, secara dasarnya, Mapim menyokong sebarang usaha untuk membuat rayuan terhadap keputusan tersebut melalui proses undang-undang di mahkamah.

"Saya difahamkan sudah ada usaha yang dibuat untuk membuat rayuan melalui proses undang-undang. Itu kami sokong kerana itu adalah sesuatu yang dibolehkan dan wajar daripada kita membuat tindakan emosi. Saya rasa isu ini kita bahaskan secara undang-undang.

"Tetapi di peringkat masyarakat kami punya nasihat ialah kita jangan bertindak di luar undang-undang ertinya ada orang mengesyorkan bahawa kita buat demonstrasi. Saya kira perkara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Itu tidak menggambarkan kita punya kekuatan tersendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Program Khas Sempena Israk Mikraj anjuran Mapim Perak di Kompleks Pendidikan Baitul Ridzuan, Kampung Manjoi, di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, Mapim akan memanggil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di dalam jaringan pertubuhan itu pada minggu hadapan bagi membincangkan mengenai isu tersebut.

Katanya, perbincangan akan menjurus kepada mencari hujah-hujah yang boleh digunakan dalam proses rayuan nanti bagi meminta mahkamah menilai semula keputusan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, hujah-hujah tersebut akan dicadangkan kepada pihak berkaitan yang akan mengemukakan rayuan tersebut.

"Memang isu dibincangkan adalah niat sebenar mereka menggunakan kalimah ALLAH itu. Kita betul-betul nak tahu apa sebenarnya yang tersirat. Mapim akan aturkan beberapa NGO, kita tampilkan pakar kita dan kita sanggup berdepan dengan mereka untuk kita berhujah secara sihat sehingga kita tahu bahawa sensitiviti kalimah ALLAH yang telah lama kita pertahankan kenapa sekarang baru diungkit.

"Oklah di Sabah dan Sarawak mereka kata telah lama digunakan kita terimalah hakikat itu. Tetapi apabila keputusan seperti ini dibuat atas tindakan yang difail oleh mereka itu, menunjukkan bahawa mereka mempunyai semacam agenda tersendiri kenapa hendak didesak ke peringkat mahkamah," katanya.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Selain perkataan ALLAH, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Bagaimanapun ia perlu disertakan dengan penafian, ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Tinggi benarkan penganut Kristian guna kalimah ALLAH

Dalam perkembangan lain, Mohd Azmi berkata, Mapim kini dalam usaha menyiapkan Kompleks Pendidikan Baitul Ridzuan, Kampung Manjoi, di sini dengan kos RM2 juta.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan sudah pun 70 peratus siap dan dijangka akan sempurna sebelum akhir tahun ini.

Jelasnya, bagaimanapun pihak Mapim masih memerlukan RM500,000 untuk melengkapkan pembinaan tersebut yang akan meliputi pejabat pentadbiran, dewan persidangan, penginapan dan pusat latihan serta kelas tahfiz al-Quran.