X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan PN pastikan kestabilan politik, bangun ekonomi: PM

Muhyiddin Yassin
A
A

KUALA LUMPUR - Kestabilan politik dan mewujudkan iklim pelaburan kondusif serta melaksanakan tadbir urus yang baik atau ‘good governance’ menjadi prasyarat penting untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam proses pemulihan ekonomi dunia dan kemasukan pelaburan yang banyak, supaya dapat memacu pembangunan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat.

“Perikatan Nasional (PN) mempunyai peranan yang penting dalam mewujudkan kestabilan politik, mengekalkan keharmonian rakyat berbilang kaum yang bersatu padu dalam sebuah negara majmuk, menjunjung prinsip tadbir urus yang baik dalam pentadbiran kerajaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Ini adalah antara faktor penting yang akan menarik lebih banyak pelabur untuk menanam modal di negara ini kerana mereka berasa lebih yakin bahawa pelaburan mereka adalah selamat dan terjamin. Inilah prinsip-prinsip asas yang menunjangi pembentukan Perikatan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang ke-49 secara hibrid di Dewan Wawasan Tun Dr Lim Keng Yaik, Menara PGRM di sini pada Sabtu.

Persidangan itu turut dihadiri Penasihat Parti Datuk Seri Mah Siew Keong, Presiden Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, dan Timbalan Presiden Oh Tong Keong dan pemimpin parti lain.

Muhyiddin turut mengulangi komitmen kerajaan PN dalam membela nasib rakyat yang terkesan susulan Covid-19 dan menegaskan ia bukanlah tentang soal politik sebaliknya membabitkan soal melindungi rakyat daripada suatu musibah yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

Perdana Menteri turut menzahirkan keyakinan bahawa kerajaan PN yang diterajuinya menepati sebahagian segala komitmen dan iltizam berkenaan.

“Kami telah menunaikan janji kami kepada rakyat. Kerajaan ini berfungsi untuk mengurus pentadbiran negara dengan penuh amanah dan berintegriti, menterjemahkan prinsip kerajaan Prihatin Rakyat dengan melaksanakan pakej-pakej rangsangan ekonomi bernilai RM320 bilion dalam tempoh setahun yang lalu, demi memelihara kebajikan rakyat dan menjamin kelangsungan perniagaan.

“Ini adalah komitmen berterusan Kerajaan Perikatan Nasional yang dilaksanakan pada masa ini dan masa yang akan datang,” katanya.

Pada persidangan berkenaan juga, Muhyiddin turut mengajak semua ahli komponen PN turun padang bertemu rakyat dan menyampaikan bantuan kepada rakyat yang memerlukan menerusi bantuan yang disediakan oleh kerajaan. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!