Dua kematian akibat rabies di Sarawak

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Sarawak merekodkan kes pertama jangkitan rabies bagi tahun ini dengan dua kematian membabitkan dua warga tempatan berumur 52 dan 54 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes itu melibatkan seorang lelaki berumur 52 tahun di Hospital Sibu selepas mengalami gejala sakit dada, kebas di bahagian tangan kanan, muntah dan sesak nafas.

“Keadaan kesihatan beliau merosot sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan pada 5 Februari 2021 dan meninggal dunia pada 8 Februari 2021.

“Beliau meninggal dunia dengan diagnosa positif rabies melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada 6 Februari lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam kenyataan sama, seorang warga tempatan berumur 54 tahun maut di Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat jangkitan yang sama.

“Beliau telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan gejala lemah di bahagian kaki, sakit di seluruh badan, demam, mual dan tiada selera makan.

“Keadaan kesihatan beliau merosot sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan pada 7 Mac 2021.

“Berdasarkan sejarah yang diberikan, beliau pernah digigit oleh anjing peliharaannya pada 26 Disember 2020 di bahagian dada kanan semasa mengendalikan anjing tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pertambahan kes itu juga telah menjadikan jumlah keseluruhan sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak 31 Julai 2017 meningkat kepada 33 dengan 31 kematian.