Lima warga emas ditahan terlibat judi laga ayam

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Lima warga emas antara 14 yang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti judi laga ayam di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Bedal, Kuala Krai pada Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, turut dirampas wang tunai berjumlah RM21,234 yang dipercayai wang pertaruhan dalam serbuan Ops Dadu pada jam 4.45 petang itu.

Beliau berkata, hasil maklumat awam, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, telah melakukan serbuan di lokasi tersebut.

“Pasukan operasi seterusnya berjaya menahan 14 lelaki berusia dalam lingkungan 31 hingga 74 tahun, berasal daripada daerah Pasir Puteh, Tumpat, Kota Bharu, Machang dan Kuala Krai.

“Turut dirampas 40 ekor ayam laga, taji ayam dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut dan wang tunai berjumlah RM21,234,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Wan Khairuddin berkata, hasil siasatan yang dilakukan mendapati nilai pertaruhan laga ayam bermula dari RM500 dan kegiatan ini dikesan beroperasi bermula jam 2 hingga 7 petang.

Beliau berkata kawasan laga ayam itu juga dikesan turut menyediakan jualan makanan kepada pengunjung yang datang, sama ada untuk bertaruh atau sekadar melihat.

"Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Binatang 1953; Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Perkara 10 Peraturan- Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: