Dua pelajar tajaan Yayasan Pahang cemerlang ACCA

Amira dan Wan Nur Syazana
Amira dan Wan Nur Syazana
A
A
A

KUANTAN - Dua pelajar tajaan Yayasan Pahang (YP) berjaya mengharumkan nama negara, memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) pada Disember tahun lalu.

Mereka ialah Amira Abdullah Wan Nur yang merupakan bekas pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dan Wan Nur Syazana Wan Nor Zakaria pula bekas pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi berkata, kedua-dua pelajar ini mendapat biasiswa YP melalui Skim Pelajar Cemerlang (SPC YP) bagi program Peneraju Professional Akauntan Muda (CAT-ACCA) dengan kerjasama Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) dan IPAC Education bagi mengikuti pengajian di Intec Education College, Shah Alam.

Menurutnya, skim terbabit bagi CAT- ACCA adalah satu program yang dirangka khas dengan kerjasama di antara YP, UiTM Private Education Sdn Bhd dan YPPB.

"Ia diperkenalkan tahun 2016 bertujuan menggalakkan lebih ramai anak Pahang mengikuti bidang perakaunan professional seterusnya melahirkan akauntan bertauliah.

“Jalinan kerjasama ini memberi peluang YP untuk menaja pelajar-pelajar Pahang yang cemerlang bagi mengikuti pengajian professional di Centre Of Professional Accountancy UiTM (IPAC Education College, Shah Alam).

Sehingga kini YP sudah menaja seramai 26 pelajar anak Pahang mengikuti pengajian di kolej ini," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Amira berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan kedua di dunia dalam subjek Audit and Assurance.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga Wan Nur Syazana turut mendapat tempat pertama di Malaysia dan kelima di dunia dalam subjek Financial Reporting.

Selain itu, Muhammad Iqbal Ahmad Fadzli yang juga bekas MTNP di sini menduduki tempat pertama di Malaysia dan kelima di dunia dalam subjek Advance Financial Management peperiksaan yang sama.

Muhammad Iqbal adalah penerima biasiswa YPPB yang kini melanjutkan pengajian ACCA di Sunway College.