Gerakan ikrar kembali ke Parlimen, DUN

Dominic bercakap kepada pemberita selepas Persidangan Perwakilan Nasional Ke-49 Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Menara PGRM pada Sabtu.
Dominic bercakap kepada pemberita selepas Persidangan Perwakilan Nasional Ke-49 Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Menara PGRM pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berikrar memastikan parti itu dapat kembali ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada penggal akan datang.

Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, bagi merealisasikannya jentera Gerakan perlu berusaha mendapatkan sokongan penuh daripada rakyat dengan lebih prihatin dalam menyelesaikan masalah mereka.

Menurutnya, ia seterusnya memastikan rakyat memberi mandat kepada Gerakan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Selepas kita mengambil pucuk pimpinan daripada Gerakan, semua ahli jawatankuasa (AJK) Pusat telah diingatkan untuk memastikan Gerakan balik ke Parlimen dan DUN. Ini adalah matlamat kita.

"Untuk mencapai matlamat itu kita mesti mendapatkan sokongan penuh daripada rakyat dan mesti sentiasa dengan rakyat, dengar nadi mereka, selesaikan masalah mereka seterusnya pastikan kita dapat mandat dari rakyat.

"PRU adalah hidup mati bagi parti Gerakan," katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Nasional Ke-49 Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Menara PGRM di sini pada Sabtu.

Jelas Dominic, penyertaan Gerakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 2019 mampu dijadikan pengajaran dalam menentukan pendekatan yang boleh diterjemahkan parti itu untuk PRU akan datang.

"Pada 2018 Gerakan buat keputusan keluar BN. Pada 2019 Gerakan memperkuatkan organisasi dengan ambil bahagian dalam PRK Tanjung Piai.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun kita kalah tetapi pada PRK Tanjung Piai itu kita sudah nampak kekuatan dan kelemahan kita. Ini penting, sebagai parti politik saya tak boleh tunggu sehingga PRU15 baharu kita tahu strategi kita betul atau tidak selain pendekatan kita betul atau tidak," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, pendirian Gerakan juga jelas dalam memastikan Perikatan Nasional (PN) mampu meraih kemenangan besar dalam PRU15 dan sedia bersikap terbuka dalam isu pembahagian kerusi.

Katanya, Gerakan menyerahkan sepenuhnya kepada PN Pusat berhubung perkara itu namun berpandangan PN harus mengamalkan prinsip budaya politik normal baharu iaitu tiada istilah kerusi tradisi.

"Gerakan juga berada dalam PN Pusat. Jadi apabila saya kata Gerakan serahkan kepada PN Pusat untuk buat keputusan, bermakna kita juga adalah pembuat keputusan.

"Saya tidak lihat Gerakan tidak akan bertanding mana-mana kerusi. Tapi yang saya mahu tegaskan adalah keutamaan kita adalah untuk pastikan PN memang PRU15

"Kita terbuka, jika ada calon boleh menang, setiap fakta akan menunjukkan siapa yang layak mewakili PN untuk menang," katanya.

Gerakan juga menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan UMNO sekiranya bekas rakan sekutu parti itu menjadi sebahagian daripada gabungan dalam PN pada PRU15.

Parti itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan wujud satu lawan satu melibatkan UMNO pro PN dengan UMNO pro Pakatan Harapan (PH) iaitu masing-masing membabitkan pemimpin kluster menteri dan pemimpin kluster mahkamah.