X

Kindly register in order to view this article
!

Bapa, anak maut nahas tiga kenderaan di Kulim

Dua beranak maut selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Karangan dekat Kulim malam tadi.
A
A

ALOR SETAR - Seorang bapa bersama anak lelakinya maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Karangan dekat Kulim pada malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, dalam kejadian jam 9.22 malam itu, mangsa Zaifisal Zakaria, 42, yang bekerja sebagai jurutera kilang maut di tempat kejadian, manakala anaknya Muhammad Zafril, 9, meninggal dunia di Hospital Kulim.

“Kejadian berlaku apabila kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berumur 43 tahun dari arah Sungai Petani menghala ke Lunas telah dilanggar di bahagian tepi belakang oleh sebuah kereta Honda Civic yang dipandu lelaki berumur 28 tahun.

“Akibat pelanggaran itu, kereta Honda Civic itu telah hilang kawalan sebelum melanggar bahagian hadapan kereta Perodua Kancil yang dinaiki dua beranak itu. Pemandu Honda Civic itu telah melarikan diri dari lokasi kemalangan, manakala pemandu Proton Wira itu tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Azhar berkata, mayat Zaifisal yang tinggal di Taman Seri Melor, Kulim itu telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.

“Polis telah mengenal pasti pemandu Honda Civic itu dan sedang mengesannya untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!