Ahmad Faizal dedah ada lagi yang akan sertai PN

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - Beberapa lagi pemimpin pembangkang dijangka menyertai Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, terdapat sebahagian daripada mereka akan menyertai Bersatu, manakala ada yang mahu menyertai parti komponen PN.

"Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan ada beberapa lagi pemimpin yang akan menyertai kita sama ada Bersatu atau parti-parti lain di dalam PN bukan sahaja Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong, A Sivasubramaniam.

"Mengenai ADUN Tronoh dan ADUN Buntong kita telahpun keluarkan kenyataan menyertai penyertaan mereka ke dalam Bersatu," katanya kepada pemberita selepas ditemui menyampaikan sumbangan kepada DRZ Academy di Padang Bola Sepak Tanjung Rambutan di sini pada Sabtu.

Hari ini, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Xavier Jayakumar yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat umum letak jawatan dan keluar PKR berkuat kuasa serta-merta.

Beliau juga mengumumkan akan menjadi ahli Parlimen bebas dan menyokong kerajaan PN.

ARTIKEL BERKAITAN: Xavier umum letak jawatan Naib Presiden PKR, keluar parti

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Faizal mengakui bahawa tiada parti yang dominan pada PRU15 untuk membentuk kerajaan tanpa bergabung dengan parti-parti lain.

Ahmad Faizal berkata, disebabkan keadaan itu, kerjasama antara parti amat penting sepertimana yang dilakukan oleh PN menggabungkan parti-parti dominan seperti Bersatu, UMNO dan Pas serta parti-parti di Sabah dan Sarawak di dalam kerajaan pada hari ini.

Menurutnya, hasil gabungan tersebut kerajaan dapat ditadbir dengan baik ketika krisis kesihatan, ekonomi, politik yang berlaku.

Ahmad Faizal menyampaikan ucapan kepada peserta DRZ Academy ketika menyerahkan sumbangan RM100,000 untuk program pembangunan bola sepak yang dikendalikan akademi tersebut di Padang Bola Sepak Tanjung Rambutan pada Sabtu.
Ahmad Faizal menyampaikan ucapan kepada peserta DRZ Academy ketika menyerahkan sumbangan RM100,000 untuk program pembangunan bola sepak yang dikendalikan akademi tersebut di Padang Bola Sepak Tanjung Rambutan pada Sabtu.

"Seharusnya kita segar-bugarkan lagi kerjasama PN ini, bukan kita lemahkan. Tindakan untuk melemahkan ini mungkin dibuat atas keperluan tertentu oleh segelintir kecil pemimpin yang menyebabkan idea-idea penjajaran politik baharu ini perlu diadakan.

"Jadi, saya percaya orang ramai menolak perkara itu (penjajaran politik) dan pemimpin yang tidak setuju, mereka patut berani untuk bangkit dan menyatakan perkara yang sebetulnya kepada para pemimpin mereka," katanya.

Pada 12 Mac lalu, Sinar Harian mendedahkan semua parti politik di Malaysia dilihat masih berpeluang untuk memenangi PRU15 apabila bukan sahaja tiada parti yang dilihat dominan, malah ramai rakyat Malaysia yang masih boleh dianggap pengundi atas pagar.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan dua organisasi media utama negara, Sinar Harian dan Sin Chew Daily mendapati perpecahan parti Melayu menyebabkan sokongan dalam kalangan orang Melayu juga berpecah.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada parti Melayu dominan

Ditanya mengenai hubungan Bersatu dengan UMNO, Ahmad Faizal menjelaskan secara peribadi hubungan beliau dengan pemimpin UMNO cukup akrab.

Malah menurutnya, dalam konteks kerajaan Perak, usaha dilakukan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad untuk membangunkan negeri akan terus diberikan sokongan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan sebarang perbincangan mengenai pembahagian kerusi belum dimulakan antara parti-parti PN.