Perkasa pemimpin wanita muda: PM

Pemimpin wanita muda harus diberikan ruang kerana mereka perlu berkembang dan menunjukkan sepenuhnya potensi mereka. Gambar hiasan.
Pemimpin wanita muda harus diberikan ruang kerana mereka perlu berkembang dan menunjukkan sepenuhnya potensi mereka. Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pemimpin di semua organisasi sama ada dalam kerajaan atau bukan kerajaan, parti politik dan sektor korporat supaya mengenal pasti, meningkatkan dan memperkasakan pemimpin wanita muda.

Menurutnya, pemimpin wanita muda harus diberikan ruang kerana mereka perlu berkembang dan menunjukkan sepenuhnya potensi mereka.

"Saya yakin pemimpin wanita muda kita hari ini akan menjadi pemimpin hebat esok. Kita perlu berhenti meragui potensi mereka kerana sudah terbukti bahawa wanita juga dapat menjadi pemimpin yang lebih baik," kata beliau dalam ucaptama pada forum pemimpin wanita, 'Rise 2021: Future Female Leaders Forum' bertemakan 'Women, The Key To A Brighter Future' di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, memperkasa wanita lebih dari sekadar memberi kata-kata semangat tetapi juga mengakui bahawa ada cabaran budaya dan sistemik yang dihadapi wanita dalam kehidupan seharian mereka semata-mata kerana gender.

“Memperkasa wanita bermaksud kita tidak boleh menjadi penonton terhadap fakta ini tetapi menjadi orang yang secara aktif memberikan sokongan berterusan kepada wanita untuk mengatasi cabaran tersebut dan mencipta perubahan untuk dunia yang adil dan saksama," tambahnya.

Muhyiddin berkata, memperkasakan wanita bermaksud melindungi hak mereka untuk pendidikan, kebebasan bersuara dan peluang saksama yang sepatutnya diberikan kepada mereka.

Wanita harus diberi peluang dan sokongan yang sewajarnya agar mereka berjaya dalam semua usaha mereka.

“Biarkan mereka mengejar impian dan membuktikan kemampuan mereka untuk berjaya dalam dunia yang sangat mencabar dan kompetitif ini. Saya yakin wanita yang berjaya akan memberi sumbangan besar kepada kemajuan negara, masyarakat dan keluarga kita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin berkata, wanita adalah tonggak negara dan semua pihak mesti mewujudkan serta mengekalkan persekitaran yang tepat untuk wanita dan kita semua untuk berkembang maju.

Beliau berkata, sokongan perlu bermula di peringkat kanak-kanak terutama dalam bidang pendidikan kerana menurut laporan terkini Brookings, peningkatan jumlah wanita yang menamatkan pendidikan menengah hanya satu peratus dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 0.3 peratus.

Beliau berkata, penyelidikan oleh Brookings Institution itu juga mendapati bahawa setiap tambahan tahun persekolahan akan meningkatkan gaji pelajar perempuan itu kelak dengan purata 12 peratus.

“Oleh itu, kita perlu terus memberikan sokongan yang diperlukan bagi wanita untuk berjaya dan maju dalam kehidupan mereka, baik dalam pendidikan, perniagaan dan dalam profesion mereka. Mereka mesti diberi peluang yang sama untuk bersaing dan cemerlang dalam bidang masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia mengakui bahawa wanita yang diperkasa terutama dari segi kewangan adalah kunci untuk membina negara dan ekonomi.

Oleh yang demikian, katanya, kerajaan Malaysia terus memberi sokongan kepada usahawan wanita melalui pelbagai inisiatif termasuk pembiayaan kredit mikro khas bernilai RM95 juta melalui

Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Agrobank selain RM50 juta yang diperuntukkan kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) bagi menyokong Pajak Gadai Islam melalui Ar-Rahnu BizNita.

Beliau berkata, wanita telah memberikan sumbangan besar kepada ekonomi dan kesejahteraan sosial masyarakat walaupun semasa pandemik Covid-19 ini.

"Ketika ekonomi kita semakin pulih secara beransur-ansur daripada kesan pandemik ini, wanita juga berperanan amat penting dalam memberikan sokongan emosi dan kewangan kepada keluarga yang terjejas," katanya. - Bernama