PN adalah tawaran baharu kepada rakyat Malaysia: Muhyiddin

Visual ucapan Muhyiddin ditayangkan secara maya pada Persidangan Perwakilan Nasional Ke-49 Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Menara PGRM di ibu negara pada Sabtu.
Visual ucapan Muhyiddin ditayangkan secara maya pada Persidangan Perwakilan Nasional Ke-49 Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Menara PGRM di ibu negara pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perikatan Nasional (PN) adalah tawaran baharu kepada rakyat Malaysia yang komited untuk mentadbir negara ini dengan berintegriti dan berwibawa.

Beliau berkata, PN juga mempunyai aspirasi yang tinggi untuk terus memelihara perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama.

"Perikatan Nasional adalah tawaran baharu kepada rakyat Malaysia. Kita ingin kekal sebagai sebuah gabungan politik yang berkongsi aspirasi negara untuk generasi yang akan datang.

"Kita mahu memimpin Malaysia dengan lebih cekap, berkesan dan kompeten. Kita ingin terus merasai denyut nadi rakyat dan memenuhi keperluan mereka dengan penuh prihatin," katanya dalam ucapan perasmian secara maya sempena Persidangan Perwakilan Nasional Ke-49 Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Menara PGRM di sini pada Sabtu.

Muhyiddin berkata, beliau percaya sokongan rakyat kepada PN akan lebih terserlah dan kukuh apabila gabungan itu terbukti berjaya melaksanakan segala janji dan komitmen untuk rakyat.

"Saya yakin dengan kesungguhan kita memenuhi aspirasi rakyat untuk Malaysia yang lebih baik, serta kesatuan dan perpaduan yang kita capai antara parti-parti komponen, PN akan menjadi gabungan parti politik pilihan utama rakyat Malaysia," katanya.

Katanya, ia terbukti dengan komitmen ditunjukkan kerajaan bagi membela rakyat dalam menghadapi pandemik Covid-19 iaitu berfungsi untuk mengurus pentadbiran negara dengan penuh amanah dan berintegriti, menterjemahkan prinsip kerajaan Prihatin Rakyat dengan melaksanakan pakej-pakej rangsangan ekonomi bernilai RM320 bilion dalam tempoh setahun yang lalu.

"Ini adalah komitmen berterusan kerajaan PN yang dilaksanakan pada masa ini dan masa yang akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan: