Xavier umum letak jawatan Naib Presiden PKR, keluar parti

Xavier
Xavier
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan keluar parti itu berkuatkuasa serta-merta sebentar tadi.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, beliau turut mengumumkan akan menjadi ahli Parlimen bebas dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, tindakan tersebut diambil kerana kekecewaan beliau terhadap situasi politik yang berlaku dalam negara ketika ini.

“Sebaliknya ada parti yang sedang membincangkan kemungkinan berlakunya pilihan raya, ini adalah sesuatu perkara yang sangat tidak perlu dan tidak sesuai pada masa sekarang.

“Prioriti utama sepatutnya adalah menyokong kerajaan untuk membendung Covid-19, mencipta peluang pekerjaan dan mendapatkan dana untuk membina semula ekonomi negara.

“Kita memerlukan sekurang-kurangnya 18 bulan untuk menyiapkan program vaksinasi dan lebih dua tahun bagi membolehkan ekonomi kembali pulih,” katanya.

Dr Xavier yang sudah bersama PKR sejak 1998 itu berkata, keupayaan kerajaan untuk menjayakan kesemua usaha tersebut memerlukan sokongan yang bersifat bi-partisan.

“Rakyat mahukan kestabilan dan memulakan kembali sektor ekonomi kita yang sedang sakit. Untuk itu, kita perlu saling bekerjasama, bukan saling menentang.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, saya mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai Naib Presiden dan anggota PKR.

"Saya akan terus terus berkhidmat di kawasan saya dan menyokong kerajaan sebagai ahli Parlimen bebas dan saya akan penuhi janji-janji pilihan raya kepada rakyat di Kuala Langat,” katanya.

Pada masa sama, Dr Xavier telah memaklumkan pendiriannya untuk menjadi ahli Parlimen bebas kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam satu surat yang bertarikh 12 Mac 2021.

Dalam surat berkenaan, Dr Xavier turut menyatakan bahawa beliau akan menyokong kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.