Penyertaan Gerakan kukuhkan PN: Muhyiddin

 Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penyertaan parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan memperkukuhkan lagi Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah gabungan parti-parti politik yang mewakili pelbagai kaum, agama dan wilayah di negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau percaya Gerakan mampu menjadi rakan komponen yang signifikan kepada PN.

Menurutnya, ia mengambil kira sejarah dan pengalaman politik parti itu sejak penubuhannya pada tahun 1968 lagi.

"Kerajaan PN sentiasa berpegang teguh kepada prinsip kepelbagaian dan keterangkuman masyarakat Malaysia.

"Justeru kemasukan Gerakan adalah tepat pada masanya dalam memperkukuhkan PN sebagai sebuah gabungan parti politik nasional yang menjadi lambang kepelbagaian masyarakat majmuk di Malaysia," katanya dalam ucapan perasmian secara maya sempena Persidangan Perwakilan Nasional Ke-49 Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Menara PGRM di sini pada Sabtu.

Beliau dalam masa sama mengingatkan parti-parti komponen PN sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan mengambil iktibar daripada pengalaman PRU lepas.

Katanya, setiap parti berperanan sebagai pemudahcara dalam menyampaikan bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

"Kita mestilah sentiasa mendekati rakyat dan mendapat kepercayaan mereka. Turunlah bertemu dengan rakyat sekerap mungkin dan sampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

"Banyak bantuan yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat menerusi pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan," katanya.

Beliau yakin semangat berkat iltizam, kecekalan dan semangat setiakawan dalam kalangan parti-parti komponen dapat dizahirkan menerusi mandat rakyat diberikan kepada PN dalam PRU kelak.