Maniam pertahan ‘lakonan’ Beto

Insiden yang membabitkan pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri yang dikatakan 'merebahkan diri' ketika berdepan Melaka United FC (MUFC). Gambar kecil: Maniam
Insiden yang membabitkan pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri yang dikatakan 'merebahkan diri' ketika berdepan Melaka United FC (MUFC). Gambar kecil: Maniam
A
A
A

PENGENDALI PJ City FC, P Maniam tampil mempertahankan pemain tengahnya, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri yang dikecam oleh pelbagai pihak susulan ‘lakonannya’ yang sengaja merebahkan badan untuk mendapatkan penalti dalam aksi Liga Super menentang Melaka United FC di Stadium Majis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Rabu.

Pada perlawanan berkenaan, Ahmad Khairil Anuar yang lebih dikenali Beto berlakon menjatuhkan badan tanpa disentuh oleh pertahanan Melaka United dan pengadil, Mohd Fairuzi Md Desa memberikan penalti dalam aksi yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 itu.

“Saya tidak mahu mengatakan sama ada apa yang dilakukan oleh Beto itu betul atau salah. Tetapi, dia telah melakukan kerjanya. Saya tidak mahu komen terlalu banyak kerana ia akan lebih mengeruhkan keadaan nanti.

“Sudah tentu dia pemain saya, jadi saya kena sokong dia. Keputusan sama ada apa yang dibuat oleh Beto itu betul atau salah bukan saya yang tentukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pertikaian mengenai aksi Beto itu juga turut membayangi keputusan pengadil perlawanan, Mohd Fairuzi yang turut dikritik teruk oleh peminat bola sepak yang disifatkan tidak peka kerana menghadiahkan sepakan penalti tersebut kepada PJ City FC.

Malah, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga dilaporkan akan mengambil tindakan ke atas Mohd Fairuzi ekoran keputusan kontroversinya itu.

Namun, bagi sesetengah pihak, apa yang dilakukan oleh Beto dilihat lumrah dalam bola sepak dengan mengambil kira perkara sama seperti yang dilakukan oleh pemain bintang dunia seperti Neymar yang turut kerap ‘berlakon’ di atas padang untuk meraih simpati pengadil.

Dalam pada itu, Maniam berharap kecaman yang dilemparkan sesetengah pihak kepada Beto tidak memberikan kesan kepada prestasi pemain tengah tersebut dalam mengharungi saingan Liga Malaysia bersama PJ City FC.

Artikel Berkaitan:

“Dia (Beto) sebagai pemain dalam pasukan saya, dia memberikan yang terbaik dalam sesi latihan dan dalam setiap perlawanan. Kami sangat positif dengan Beto terutama semangat yang ditunjukkan dalam pasukan,” katanya.