Nak hidup mewah punca rasuah

Mohd Ramalan memegang plakad kempen Rasuah Busters selepas mesyuarat kolaboratif Rasuah Busters di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.
Mohd Ramalan memegang plakad kempen Rasuah Busters selepas mesyuarat kolaboratif Rasuah Busters di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Keinginan untuk hidup mewah dan cenderung mempunyai gaya hidup di luar kemampuan adalah punca utama masyarakat terjebak dengan kegiatan rasuah di negara ini.

Pengerusi World Islamic Chamber of Commerce, Datuk Mohd Ramalan Yunus berkata, sikap tamak dan haloba juga menyebabkan golongan ini tanpa segan silu menerima ‘suapan’.

“Dunia bertambah maju dan setiap manusia ada keinginan untuk hidup senang dan cepat kaya. Keinginan mereka untuk beli macam-macam benda untuk diri sendiri, anak dan keluarga.

“Keinginan mereka yang tidak terkawal menyebabkan jenayah rasuah ini lebih mudah dilakukan apabila wujudnya ruang dan peluang seperti ini,” katanya selepas menghadiri mesyuarat kolaboratif Rasuah Busters di Kumpulan Karangkraf di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, semua pihak terutama kerajaan perlu mengambil berat jenayah rasuah ini dan langkah drastik serta holistik sangat perlu bagi membendungnya sehingga akar umbi.

“Secara peribadi, saya merasakan gejala rasuah di Malaysia sudah tidak terkawal kerana ia berlaku di semua peringkat.

"Malah dalam dunia politik sendiri, ramai wakil-wakil rakyat melompat parti dan sebagainya.

“Keadaan ini berlaku disebabkan adanya ‘transaksi’ yang berlaku di belakang layar dan perbuatan ini sangat keterlaluan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ramalan yang juga promoter gerakan Agenda Reset Malaysia (ARM) berkata, masyarakat perlu memupuk budaya baharu iaitu melihat rasuah sebagai sesuatu yang teruk dan memberi impak negatif bukan sahaja kepada golongan belia bahkan kepada bangsa dan negara.

“Perlunya kempen antirasuah diadakan secara besar-besaran untuk menyedarkan masyarakat tentang masalah yang sudah berakar umbi ini.

“Kempen ini juga perlu diperluaskan ke peringkat sekolah terutama sekolah rendah kerana sikap benci dan antirasuah perlu dipupuk dari hati nurani anak-anak kecil ini agar barah rasuah dapat dibanteras dari peringkat awal,” katanya.

Justeru katanya, beliau sangat menyokong usaha Sinar Harian melancarkan kempen atau gerakan yang dinamakan sebagai Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa bagi membanteras gejala rasuah dan membina semula negara.

“Saya menyokong penuh kempen terbabit dan berharap inisiatif ini dapat membantu membanteras gejala rasuah di negara ini.

“Malah dalam ARM sendiri, kami berpegang pada prinsip ‘amal makruf nahi mungkar’. Apa sahaja kemungkaran termasuk rasuah ini, memang wajib kita tentang habis-habisan,” katanya.