Pemuda Pas Johor desak siasat DAP

Juwahir (empat, kanan) sewaktu membuat laporan polis di Balai Polis Simpang Renggam, semalam
Juwahir (empat, kanan) sewaktu membuat laporan polis di Balai Polis Simpang Renggam, semalam
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Pemuda Pas Johor membuat laporan polis di Balai Polis Simpang Renggam petang semalam bagi mendesak pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap dakwaan DAP menerima dana asing termasuk dari Israel.

Ketuanya, Juwahir Amir berkata, laporan itu dilakukan sebagai tekanan kepada Kerajaan PH supaya isu dana kepada DAP yang sudah lama tular dalam media sosial dibiarkan tanpa tindakan.

"Penerimaan dana asing oleh DAP menyalahi integriti dan undang-undang kerana boleh membawa ugutan dan ancaman kepada kedaulatan negara dan tidak seharusnya dibiarkan.

"Kita lihat DAP sekarang adalah sebahagian daripada tulang belakang pentadbiran kerajaan PH dan hari ini (semalam), kita mahu akaun DAP disiasat polis dan SPRM supaya dibuktikan mereka tidak menerima dana asing sebagaimana yang didakwa," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap DAP di Balai Polis Simpang Renggam, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Pas Simpang Renggam, Ilias Ithnin; Ketua Pemuda Pas Simpang Renggam, Mohamad Firdaus Adnan dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Mohd Faizal Mohd Said.

Menurutnya, antara dakwaan yang serius sebelum ini adalah pendedahan bekas Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu Mohamad Razali Abdul Rahman yang mendakwa DAP mengambil wang rasuah RM300 juta dari Israel.

Katanya, dakwaan itu juga dikuatkan lagi dengan pendedahan oleh Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining yang mengaku secara terbuka bahawa pihaknya telah memberi dana kepada PH untuk menghadapi PRU14 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Jika Pas boleh disiasat atas dakwaan menerima dana RM90 juta, maka kami meminta polis dan SPRM melakukan siasatan sama terhadap DAP kerana dakwaan ini memang telah tular di media sejak beberapa tahun ini tetapi kita lihat tiada tindakan tuntas pihak berkuasa untuk menyiasat.

"Kami juga berharap tidak ada campur tangan politik dalam siasatan kes ini kerana kita mahu siasatan yang telus sama ada dakwaan ini betul atau sebaliknya," katanya.