‘Bukan 100 peratus salah kami’

 Kira-kira 64 peratus penunggang p-hailing yang menghantar makanan dikesan melakukan kesalahan trafik pada waktu puncak antara 11 pagi hingga 2 petang. Gambar kecil: Abdul Hakim
Kira-kira 64 peratus penunggang p-hailing yang menghantar makanan dikesan melakukan kesalahan trafik pada waktu puncak antara 11 pagi hingga 2 petang. Gambar kecil: Abdul Hakim
A
A
A

SHAH ALAM - Sistem operasi syarikat perkhidmatan yang menekan pekerja penghantaran barangan dan makanan (p-hailing) antara faktor yang menyebabkan kumpulan tersebut terpaksa menunggang secara berbahaya.

Timbalan Presiden Persatuan Penghantar Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani berkata, masyarakat tidak sepatutnya dengan mudah meletakkan kesalahan di atas bahu penunggang p-hailing dalam isu tersebut.

“Saya melihat bahawa ramai dalam kalangan masyarakat yang meletakkan 100 peratus kesalahan di atas bahu para riders.

“Di peringkat persatuan dan saya sendiri sebagai rider, masyarakat perlu tahu bahawa terlebih dahulu bagaimana sistem syarikat beroperasi dari segi pengurusan aplikasi, pemarkahan kepada riders, cara dan kadar pembayaran upah,” katanya.

Abdul Hakim berkata, tindakan masyarakat yang sering menyalahkan pekerja p-hailing dalam hal tersebut tidak akan menyelesaikan isu berkenaan.

Kata Abdul Hakim lagi, tiada jalan lain yang dilihat dapat menyelesaikan isu tersebut selagi syarikat penyedia perkhidmatan tidak menambah baik sistem operasi pengendalian mereka.

Menurutnya, selain kadar upah yang semakin rendah, beberapa isu lain seperti jenis sistem operasi aplikasi yang digunakan turut menjadi punca mengapa masalah tersebut semakin menjadi-jadi.

“Antara isu besar yang timbul apabila peta yang digunakan dalam aplikasi perkhidmatan kami itu tidak sama dengan jarak yang sepatutnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dalam satu kenyataan memaklumkan, kira-kira 64 peratus penunggang p-hailing yang menghantar makanan dikesan melakukan kesalahan trafik pada waktu puncak antara 11 pagi hingga 2 petang.

“Dapatan tersebut ialah hasil pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di 11 jalan utama Kuala Lumpur antara 4 hingga 7 Ogos tahun lalu.

“Miros juga akan berbincang dengan beberapa syarikat aplikasi penghantaran makanan berhubung kadar kemalangan penunggang p-hailing,” jelasnya.