X

Kindly register in order to view this article
!

PAU medan terakhir muktamad kerjasama dengan Bersatu

Ismail Sabri (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Md Salleh ketika melawat kediamannya sempena program Cakna Veteran ATM di Pantai Johor, Alor Setar pada Jumaat.
A
A

ALOR SETAR - Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan menjadi medan terakhir dalam memutuskan pendirian Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berhubung penolakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usul keputusan MKT menolak kerjasama dengan Bersatu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu akan dimuktamadkan pada PAU yang diadakan pada 28 Mac ini.

Menurutnya, kesemua pihak diminta menunggu keputusan muktamad berhubung perkara itu pada persidangan parti itu kelak.

“Pada PAU pun, sebarang keputusan boleh dibuat kerana PAU adalah autoriti tertinggi dalam parti. Malah PAU boleh terbalikkan keputusan yang telah dibuat oleh MKT sekali pun,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Md Salleh Ahamad sempena program Cakna Veteran ATM di Pantai Johor di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mahu ‘muafakat politik’ dimeterai bawah Perikatan Nasional (PN) antara Bersatu, Pas dan UMNO diteruskan sehingga selepas PRU15 demi masa depan negara, selain menasihati pemimpin ketiga-tiga parti itu untuk terus mendokong kerajaan sedia ada.

ARTIKEL BERKAITAN: Teruskan muafakat Bersatu, Pas, UMNO selepas PRU15

Ismail Sabri berkata lagi, sebarang perubahan berhubung pendirian MKT UMNO hendaklah dibuat dalam mesyuarat terbabit.

“MKT sudah buat keputusan pada 19 Februari lalu, kerjasama sehingga PRU15.

“Sebarang perubahan kita perlu ubah dalam mesyuarat MKT juga, tak boleh buat keputusan berbeza dengan keputusan MKT. Setakat hari ini, ia kekal seperti diputuskan,” katanya.

Tegas beliau, sebarang perubahan kelak akan diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita jelas dengan pendirian Pas yang mahu kekalkan gabungan bersama PN. Kita sudah buat keputusan di peringkat Barisan Nasional kekal kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!