Tujuh lelaki ditahan dalam Op Sarang Khas

Antara dadah dan barangan yang dirampas dalam Op Sarang Khas selama dua hari di daerah Bentong. - Foto ihsan polis
Antara dadah dan barangan yang dirampas dalam Op Sarang Khas selama dua hari di daerah Bentong. - Foto ihsan polis
A
A
A

BENTONG - Seramai tujuh lelaki ditahan dalam Op Sarang Khas di beberapa lokasi di daerah ini dalam operasi selama dua hari bermula Rabu lalu.

Kesemua lelaki berusia dari 30 hingga 58 tahun itu yang juga warganegara tempatan ditangkap hasil operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, serbuan dan pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah bengkel kereta di Felda Chemomoi yang dikatakan menjadi lokasi penagihan dadah kira-kira jam 8 malam pada Rabu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di bengkel tersebut, pihak polis menjumpai dan merampas dadah dipercayai jenis syabu dengan anggaran seberat 12.23 gram bernilai kira-kira RM1,250.

"Seramai tiga lelaki berusia dalam lingkungan 30 hingga 46 tahun yang berada dalam bengkel tersebut ditangkap. Seorang lagi lelaki berusia lingkungan 44 tahun yang berada di luar bengkel pula ditahan dan polis menemui dadah dipercayai jenis syabu anggaran berat 6.65 gram bernilai kira-kira RM600," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, kesemua suspek ditangkap untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tambahnya, pada hari sama serbuan dan pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah rumah di Felda berkenaan kira-kira jam 9.15 malam.

"Seorang lelaki berusia 58 tahun ditahan dan polis menemui dadah dipercayai jenis heroin anggaran berat 0.68 gram dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di lokasi berasingan dua lelaki ditahan di sebuah kawasan perumahan di Karak dipercayai memiliki dadah jenis syabu anggaran berat 0.36 gram kira-kira jam 12.10 pagi, pada Khamis.

"Kesemua suspek yang ditangkap dalam operasi ini didapati positif dadah berdasarkan saringan awal polis," katanya.