Palsu sijil ujian Covid-19: 11 lelaki ditahan bantu siasatan

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Sebelas lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung dua laporan pemalsuan dokumen Sijil Keputusan Ujian RT-PCR (Real-Time Reverse-Transcription Polymerase Chain Reaction) Covid-19.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintendan Maria Rasid berkata, dua laporan polis itu dibuat Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada 3 Mac dan 8 Mac lalu.

“Susulan daripada laporan polis yang dibuat itu, JSJK Sarawak menahan 11 lelaki di sekitar daerah Kuching pada 7 Mac lalu dan hari ini (12 Mac) serta merampas sebuah telefon bimbit dan beberapa keping kad sim milik seorang daripada lelaki itu,” katanya pada sidang media harian Covid-19 Sarawak pada Jumaat.

Beliau berkata, sebuah klinik swasta turut disiasat kerana disyaki terlibat dalam pemalsuan dokumen sijil keputusan ujian RT-PCR Covid-19 itu dengan menawarkan bayaran RM50 hingga RM100 bagi setiap dokumen berkenaan.

Maria berkata, lapan daripada lelaki yang ditahan pada 7 Mac itu dibebaskan dengan jaminan polis.

“Polis memandang serius isu penipuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 kerana ia membahayakan kesihatan orang ramai dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahi undang- undang,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: