Caj warisan Melaka kekal RM2

Jailani (dua dari kiri) menunjukkan promosi Kempen Promosi "Melakan Visit Melaka Packages 3.0," di Freeport A'Famosa Outlet pada Jumaat.
Jailani (dua dari kiri) menunjukkan promosi Kempen Promosi "Melakan Visit Melaka Packages 3.0," di Freeport A'Famosa Outlet pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri tidak bercadang menaikkan caj warisan pelancongan RM2 sehari yang dikutip daripada pengunjung menempah bilik penginapan pada tahun ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, ia merupakan keprihatinan Melaka bagi memulihkan sektor pelancongan termasuk industri perhotelan sekali gus mencapai sasaran kedatangan 6.2 juta pelancong pada tahun ini.

Menurutnya, biarpun terdapat dakwaan caj berkenaan akan dinaikkan kepada RM5, namun beliau memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku lebih-lebih lagi kerajaan telah memberikan kelonggaran merentas negeri untuk menjayakan gelembung perjalanan bersasar.

Katanya, secara tidak langsung meringankan beban dan menyelamatkan industri perhotelan di Melaka yang terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

"Kita tidak akan naikkan mana-mana harga mahupun ada khabar angin yang mengatakan bahawa caj warisan nak dinaikkan RM2 kepada RM5 ini semua tidak akan berlaku, saya beri jaminan.

"Saya juga menasihatkan agensi-agensi pelancongan tidak menaikkan harga pakej dan setakat ini kebanyakan memberikan potongan harga 20 hingga 50 peratus kepada pelancong dalam usaha menarik lebih ramai pelancong," katanya ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Promosi "Melakan Visit Melaka Packages 3.0," di Freeport A'Famosa Outlet (FAO) di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia berkata, sehingga 31 Disember lalu sebanyak 58,465 pakej pelancongan terjual dengan jumlah pendapatan RM459,948 menerusi kempen sama versi 2.0.

Menurutnya, pada kempen 3.0 ini pula ia akan membabitkan 24 lokasi pelancongan di Melaka berbanding sebelum ini dan berkuat kuasa selama 10 bulan sehingga 31 Disember depan.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat lima tempat tumpuan pilihan hati pelancong sepanjang kempen ini diklankan iaitu Muzium Melaka, Melaka River Cruise, Zoo Melaka, Melaka International Bowling Centre dan Taman Mini Malaysia dan Mini ASEAN," katanya.

Dalam pada itu, Melaka akan memohon pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melonggarkan dan memberikan kebebasan pergerakan kepada rakyat menggunakan pengangkutan peribadi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ke mana-mana destinasi percutian.