Pembantu kedai diculik ketika hantar Iphone kepada pelanggan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu e-hailing antara tiga lelaki yang diberkas di sekitar Melaka pada Khamis untuk siasatan kes culik pembantu kedai telefon bimbit di ibu negara baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, tiga lelaki berusia 21 hingga 37 tahun itu ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras kira-kira jam 11 malam susulan kejadian pada Sabtu lalu.

"Suspek yang bekerja sebagai juruteknik, pemandu e-hailing dan seorang tidak bekerja itu dibawa ke IPD Cheras untuk tindakan lanjut.

"Kesemua mereka direman enam hari bermula Jumaat untuk siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, IPD Cheras ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya suspek-suspek tersebut.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Bilik Gerakan IPD Cheras di talian 03-92845050 / 5051.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa berusia 25 tahun telah keluar untuk menghantar tiga telefon bimbit jenis Apple 12 Pro Max dengan harga RM17,000 kepada seorang pembeli di Plaza Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Namun, sehingga lewat malam, mangsa masih belum pulang ke kedai dan gagal dihubungi.

Artikel Berkaitan:

Mangsa kemudian dicari oleh bapanya serta rakan sekerjanya ke lokasi tempat penghantaran telefon bimbit tersebut namun hanya menjumpai motosikal milik mangsa.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat pada jam 3.20 pagi keesokannya dan kertas siasatan Orang Hilang dibuka.