Tambahan 1,300 anggota Maqis perangi penyeludupan

Ronald (dua dari kanan) melihat sendiri aktiviti pendaftaran ejen di kaunter Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam di Kedah pada Jumaat.
Ronald (dua dari kanan) melihat sendiri aktiviti pendaftaran ejen di kaunter Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam di Kedah pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Permohonan tambahan 1,300 anggota Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang diperlukan di sempadan seluruh negara oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah diluluskan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, perkara itu juga mendapat persetujuan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam usaha memerangi aktiviti penyeludupan.

Menurutnya, sehingga kini Maqis mempunyai seramai 545 anggota di seluruh negara.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 50 anggota bertugas di Kedah. Selain itu, kami juga melihat daripada sudut peralatan canggih yang juga diperlukan seperti mesin pengimbas alih di pintu masuk sempadan negara.

"Mesin pengimbas ini sangat mahal iaitu lebih RM400,000 seunit dan peralatan canggih ini penting bagi memastikan tugas penguatkuasaan lebih berkesan dan efisien.

"Setakat ini mesin itu hanya satu sahaja dan berada di Bukit Kayu Hitam," katanya pada sidang media di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, barisan penguatkuasaan perlu bijak menangani kęs-kes penyeludupan yang mempunyai banyak helah yang cuba membawa masuk produk pertanian secara haram.

Ronald berkata, anggota Maqis juga akan dibekalkan 56 pucuk pistol bagi melancarkan aktiviti penguatkuasaan dan risikan jabatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu beliau berkata, sepanjang tahun lalu, Maqis Bukit Kayu Hitam berjaya melakukan 429,000 pemeriksaan meliputi 116,000 terhadap konsainan import dan 313,000 konsainan eksport.

"Jumlah kutipan pula berjumlah RM88.6 juta iaitu melebihi sasaran ditetapkan berbanding RM82 juta pada tahun sebelumnya walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19 yang sedang berlaku dalam negara," katanya.