Taman Persahabatan Selangor-Jepun dibuka hari ini

Haris (depan, tujuh dari kanan) merakamkan gambar sebelum memasuki Taman Persahabatan Selangor-Jepun di Taman Tasik Shah Alam pada Jumaat.
Haris (depan, tujuh dari kanan) merakamkan gambar sebelum memasuki Taman Persahabatan Selangor-Jepun di Taman Tasik Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Taman Persahabatan Selangor-Jepun yang terletak bersebelahan Dataran Kemerdekaan Shah Alam mula dibuka kepada orang awam bermula Jumaat.

Pembinaan taman ini yang berkeluasan 2.428 hektar adalah sebagai tanda penghargaan kepada negara Jepun yang sekian lama menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan mereka.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim berkata, taman itu mula dibina sekitar tahun 2018 dan siap sepenuhnya pada tahun lalu dengan kos keseluruhan berjumlah RM3.8 juta.

"Taman ini dibuka sedikit lewat kepada pengunjung susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembukaan Taman Persahabatan Selangor-Jepun di Taman Tasik Shah Alam, pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan (Padat) Selangor, Datin Siti Khadijah Abd Aziz dan Setiausaha Ketiga Kedutaan Jepun di Malaysia, Iwa Iwari.

Mengulas lanjut, Haris berkata, taman itu juga dibina mengikut penyatuan elemen seni bina dan kebudayaan bagi melambangkan kerjasama utuh antara negeri Selangor dan Jepun.

Menurut beliau, taman ini mempunyai beberapa tarikan utama antaranya Laman Zen, Kolam Maze, Gerbang Torii, Tsukubai (Stone Basin), Laman Refleksologi dan beberapa lagi.

"Terdapat juga ciri unik di sini dengan pagar keselamatan dan dibuka secara percuma bermula jam 10 pagi hingga 7 malam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pembukaan taman ini juga bakal menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara termasuk Jepun.

"MBSA menyasarkan taman ini menjadi lokasi tumpuan bagi menarik pelancong sekali gus memacu industri pelancongan di Shah Alam," katanya.