Bot nelayan asing menyamar bot tempatan curi hasil laut

Salah sebuah bot nelayan asing menyamar bot tempatan ditahan oleh KM Satria menerusi Op Kuda Laut jam 3 petang pada Rabu.
Salah sebuah bot nelayan asing menyamar bot tempatan ditahan oleh KM Satria menerusi Op Kuda Laut jam 3 petang pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot nelayan asing dipercayai dari Vietnam yang menyamar sebagai bot tempatan dengan menggunakan nombor pendaftaran meragukan.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kedua-dua bot itu ditahan pada kedudukan 40 batu nautika di timur laut Pulau Tenggol di Dungun oleh KM Satria dalam Op Kuda Laut jam 3 petang, pada Rabu.

Beliau berkata, tindakan pantas KM Satria menurunkan bot RHIB membolehkan kedua-dua bot yang melarikan diri itu dipintas selepas perbuatan mereka mencuri hasil laut negara dikesan penguat kuasa.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 23 kru termasuk tekong berusia antara 14 hingga 59 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit pekerja asing yang sah dan gagal mengemukakan dokumen lesen, " katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Dalam pada itu, katanya, kaedah menggunakan nombor pendaftaran palsu pada badan bot tidak berkesan kerana struktur fizikal yang berbeza membolehkan penguat kuasa mengenal pasti bot yang mencurigakan.

"Nilai keseluruhan nilai rampasan bagi kedua-dua bot dianggarkan sebanyak RM3 juta termasuk peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan dan diesel.

"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel Berkaitan: