Tipu pelaburan 'Like Share', pengarah syarikat dipenjara setahun

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah menipu dan memperdaya seorang wanita untuk mempercayai pelaburan ‘Like Share’ itu wujud sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM9,888, tahun lepas.

Majistret Tawfiq Affandy Chin memerintahkan Tan Chee Keong, 44, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 11 Mac (semalam).

Mengikut pertuduhan, Chee Keong didakwa menipu seorang wanita berusia 52 tahun dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai pelaburan ‘Like Share’ itu wujud, sehingga mendorong wanita tersebut untuk memasukkan wang berjumlah RM9,888 ke dalam akaun syarikat Revorits It Solution Sdn Bhd yang didaftarkan atas nama tertuduh, yang mangsa tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdaya.

Chee Keong didakwa melakukan perbuatan itu di Lucky Garden Bangsar, di sini antara 10 dan 13 November 2020 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Sementara itu, Chee Keong mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Wong Chai Sia dan Tawfiq bagi tiga lagi pertuduhan melakukan kesalahan sama terhadap tiga individu lain yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM29,512 dan ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan di sekitar Lembah Klang, di sini, antara 12 Oktober dan 19 November lepas mengikut seksyen sama.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 13 serta 20 April ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar dan Najihah Farhana Che Awang manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Artikel Berkaitan: