Pengarah syarikat dijel setahun tipu pelaburan

Tan Chee Keong, 44, dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan menipu empat individu berhubung satu pelaburan, tahun lalu.
Tan Chee Keong, 44, dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan menipu empat individu berhubung satu pelaburan, tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah sebuah syarikat dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan menipu seorang wanita untuk mempercayai pelaburan ‘Like Share’ itu wujud sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM9,888, tahun lalu.

Tan Chee Keong, 44, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin dan mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkapan.

Mengikut pertuduhan, Chee Keong didakwa menipu dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai pelaburan Like Share itu wujud, sehingga mendorongnya memasukkan wang berkenaan ke akaun bank Syarikat Revorits It Solutions Sdn Bhd.

Akaun itu didaftarkan di atas nama tertuduh yang mana mangsa tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan didakwa berlaku di Jalan Persiaran Ara Kiri, Lucky Garden Bangsar di sini, antara 10 dan 13 November 2020.

Sementara itu, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan membabitkan tiga mangsa berusia 30 hingga 38 tahun dengan kerugian berjumlah RM29,512.

Kejadian didakwa berlaku di sebuah restoran di KLCC, sebuah kondominium Sri Putramas dan Wangsa Maju, antara 12 Oktober hingga 19 November 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar dan Najihah Farhana Che Awang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin, bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 13 serta 20 April depan untuk sebutan semula kes.