Taman Eko Rimba Kuala Lumpur dibuka semula esok

Mohd Ridza (kanan) bergambar kenangan di Titian Silara (Canopy Walk) di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL) pada Khamis. - Foto Bernama
Mohd Ridza (kanan) bergambar kenangan di Titian Silara (Canopy Walk) di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL) pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bagi warga kota yang rindu untuk beriadah sambil menikmati kehijauan alam semula jadi, pastinya pembukaan semula Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL) di Bukit Nenas disambut dengan senyum lebar.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang berkata, kawasan itu menjadi alternatif kepada masyarakat menjalankan aktiviti hujung minggu memandangkan perjalanan merentas negeri masih belum dibenarkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, katanya, pengunjung masih perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk memasuki kawasan yang turut dikenali sebagai Paru-Paru Hijau Kuala Lumpur itu (The Green Lung of Kuala Lumpur).

“Selain perlu mematuhi penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka, pengunjung hanya dibenarkan untuk melakukan aktiviti seperti ‘jungle trekking’ dan memerhati burung. Aktiviti perkhemahan dan berkumpulan beramai-ramai secara serentak tidak dibenarkan sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan Sistem Bayaran Permit Berkomputer yang dibangunkan dengan usahasama Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan (JPWP) dengan Bahagian Teknologi Maklumat Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (IPJPSM).

Sejak mengenakan bayaran masuk bermula 1 Januari tahun lepas, TERKL yang terkenal dengan tarikan utamanya seperti ‘Titian Silara’ (Canopy Walk) dan ‘Bamboo Walk’, merekodkan pungutan berjumlah kira-kira RM900,000 dengan purata pengunjung 15,000 orang sebulan.

Bayaran masuk yang dikenakan adalah RM10 (dewasa), RM1 (kanak-kanak) dan warga emas (RM1) bagi warganegara, sementara bagi bukan warganegara, kadar bayaran dikenakan sebanyak RM40 (dewasa), RM5 (kanak-kanak) dan RM40 bagi warga emas.

Sementara itu katanya, mulai esok juga Sistem Bayaran Permit Berkomputer akan diguna pakai pihak pengurusan dan pengunjung hanya perlu memberikan kad pengenalan sebelum ‘wristband’ diberikan yang berfungsi sebagai tiket masuk.

Artikel Berkaitan:

"Secara tidak langsung ia juga dapat menambah baik kaedah penjualan tiket di kaunter dan dapat mengelak ketirisan hasil dengan pemantauan maksimum melalui rekod berkomputer dan tranksaksi," katanya.

Terdapat tujuh denai hutan yang berlatar belakang suasana bandar seperti Denai Penarahan, Denai Jelutong, Denai Merawan, Denai Suboh, Denai Sindora, Denai Hopea, Denai Shorea dan Jambatan Gantung terdapat di TERKL. - Bernama