Remedi jangka pendek bendung sebar berita tidak benar

Datuk Saifuddin Abdullah
Datuk Saifuddin Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang berkuatkuasa pada Jumaat merupakan remedi jangka pendek bagi membendung penyebaran berita tidak benar mengenai Covid-19 dan proklamasi darurat.

Tegas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, kerajaan memandang serius terhadap penularan berita palsu yang sentiasa berlegar pada masa kini.

"Sebagaimana kita maklum penularan berita tidak benar daripada sumber tidak sah mengenai Covid-19 dan proklamasi darurat boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan terhadap masyarakat," katanya pada sidang akhbar bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di kementeriannya pada Jumaat.

Menurutnya, ordinan berkenaan memberi fokus kepada berita tidak benar berkaitan Covid-19 dan proklamasi darurat sahaja.

"Selama ini KKMM menerusi pasukan respon pantas setiap hari telah membuat penafian mengenai berita tidak benar, namun ia masih berleluasa dan tidak berkesudahan, jadi ia perlu dihentikan," katanya.

Beliau berkata, ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong itu tidak melibatkan sebarang unsur-unsur politik.

Artikel Berkaitan:

"Negara sedang menjalankan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sudah pun bermula, jadi kita tidak mahu ia gagal disebabkan hal-hal sebegini (berita tidak benar)," katanya.

Saifuddin berkata, ordinan berkenaan merupakan satu keperluan kerana kita belum sempat untuk membentangkan pindaan Akta SKMM yang dibuat pada 1998.

"Pada masa itu kita belum tahu lagi betapa lajunya berita palsu berkembang dalam media sosial," katanya.

Tambah beliau, sehingga 12 Mac, sebanyak 287 kertas siasatan berkaitan Covid-19 dibuka oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta polis.



ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan warta ordinan berita tak benar